Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TABARRUJ ADALAH HARAM

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 10 Disember. - Tabarruj bermaksud perbuatan wanita berhias secara berlebihan, dengan menampakkan perhiasan dan anggota tubuh hingga menarik perhatian lelaki bukan mahram.

Tabarruj adalah haram sepertimana dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, dalam Surah Al-Ahzab, ayat 33, yang bermaksud, "Dan hendaklah kamu sentiasa berada di rumah kamu dan janganlah kamu mendedahkan perhiasan kamu (yang wajib ditutup), seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliah dahulu, dan dirikanlah solat, bayarlah zakat dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghapuskan dosa kamu wahai ahlul bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya (daripada segala perkara yang keji)''.

Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) mengongsikan perkara tersebut, yang bertajuk 'Larangan Tabarruj Dalam Islam' menerusi Instagram rasmi KUPU SB, @kupusb_official.

Melalui perkongsian itu juga, dikongsikan tip bersolek untuk wanita Muslimah, di mana wanita Muslimah adalah dinasihatkan untuk mengelakkan memilih lipstik yang berwarna garang dan kelihatan terlalu menarik perhatian, seperti warna merah, purple, pink terang, maroon gelap dan sebagainya.

tabarruj.jpg

Dalam pada itu juga, warna lipstik hendaklah dipilih warna yang sesuai, dengan warna kulit dan hampir dengan warna semula jadi bibir.

Tip-tip tersebut juga menasihatkan kepada para wanita Muslimah untuk mengelakkan warna-warna yang terang, dalam memilih eye shadow, seperti warna hijau, biru, ungu dan sebagainya. Jika perlu, pilih eye shadow berwarna natural, seperti coklat dan perang (bronze).

Sementara itu, menggunakan bulu mata palsu adalah sama hukumnya, seperti menyambung rambut dan hukumnya adalah haram. Jika mahu, gunakan sedikit maskara dan memastikan dibersihkan sempurna sebelum mengambil wuduk. Kedua-dua yang terlibat dalam memakai dan memakaikan bulu mata palsu mendapat dosa.

Manakala, mencukur kening juga adalah haram dan berdosa sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dalam hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang mafhumnya : "Allah melaknat wanita-wanita yang mencabut bulu kening (Al-Namisah) atau meminta orang lain mencukur atau mencabut bulu keningnya (Al-Mutanammisah), wanita yang mengasah gigi supaya kelihatan cantik. Perbuatan itu telah mengubah ciptaan Allah".


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Disember 2021. Berita dan Infografik : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin)

Attachments