Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KHIYAR DIBENARKAN DALAM JUAL BELI

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 21 Oktober. - Taradhin bermaksud suka sama suka. Maka apabila disebutkan Taradhin dalam konteks Muamalat, ia bermaksud jual beli yang dilaksanakan dengan dasar suka sama suka, sama ada daripada pihak si penjual mahupun si pembeli.

Sepertimana di dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, dalam Surah Al-Baqarah, yang mafhumnya, "Padahal Allah telah menghalalkan berjual beli (berniaga) dan mengharamkan riba".

Perkara tersebut dijelaskan oleh Dekan Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa menyampaikan tazkirahnya, bertajuk 'Taradhin Dalam Konteks Muamalat (Bahagian 2)', pada Mudawalah Ilmiah (MI) Fakulti Syariah, yang diadakan secara maya menerusi Instagram Live.

PB231021_jualbeli.png

DEKAN Fakulti Syariah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar semasa menyampaikan tazkirahnya, bertajuk 'Taradhin Dalam Konteks Muamalat (Bahagian 2)' secara maya menerusi Instagram Live.

Dr. Haji Noralizam seterusnya menjelaskan, Taradhin itu adalah suka sama suka, yang bermaksud tidak ada paksaan untuk membeli atau menjual dan kedua-dua pihak mestilah dalam keadaan reda atas transaksi jual beli.

Beliau kemudiannya menerangkan, pada dasarnya, perasaan reda tersebut adalah sesuatu yang tidak nampak, namun beberapa ulama terdahulu menetapkan adanya ijab kabul dalam transaksi jual beli bagi memastikan adanya Taradhin dalam jual beli tersebut.

"Namun, di kedai pada waktu ini lazimnya diletakkan deskripsi barang jualan serta harga barang jualan berkenaan. Sekiranya si pembeli bersetuju dengan barangan berkenaan serta harganya, maka si pembeli akan membawa barangan berkenaan ke kaunter jualan untuk membeli tanpa menggunakan ijab kabul.

"Maka jual beli seperti ini dipanggil Ba'i al-Ta'ati atau hulur-menghulur. Jual beli seperti ini adalah diharuskan oleh Mazhab Syafi'e," tambahnya.

Jual beli dalam Islam, jelas beliau lagi, walaupun telah berlaku adalah juga dibenarkan untuk khiyar, iaitu pilihan untuk meneruskan atau membatalkan jual beli.

Beliau, seterusnya menyebutkan, sepertimana hadis sahih riwayat Bukhari dan Muslim, Dari Abdillah bin al-Harits, dari Hakim bin Hizam, bahawasanya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, ''Dua orang yang melakukan jual beli mempunyai hak khiyar dalam jual belinya selama mereka belum berpisah, jika keduanya jujur dan keduanya menjelaskannya, nescaya diberkahi dalam jual beli mereka berdua dan jika mereka berdua menyembunyikan atau berdusta, nescaya akan dicabut keberkahan daripada jual beli mereka berdua''. Abu Dawud berkata, ''Sehingga mereka berdua berpisah atau melakukan jual beli dengan akad khiyar".

Beliau, seterusnya menjelaskan, khiyar tersebut ada tiga, iaitu Khiyar Majlis; Khiyar Syarat; dan Khiyar 'Aib. ''Khiyar Majlis merupakan hak memilih untuk melanjutkan atau membatalkan transaksi selama pihak penjual dan pembeli masih berada di tempat jual beli. Khiyar Majlis akan hilang jika penjual atau pembeli sudah berpisah atau pergi dari tempat transaksi.

"Khiyar Syarat adalah khiyar yang menjadi syarat, pada saat akad jual beli dilakukan. Dalam khiyar ini, pembeli atau penjual menetapkan batas waktu tertentu untuk meneruskan atau membatalkan transaksi. Jika telah sampai batas waktu, maka pihak penjual atau pembeli harus memastikan apakah transaksi akan diteruskan atau tidak.

"Khiyar 'Aib merupakan hak pilih untuk membatalkan atau meneruskan akad apabila terdapat cacat atau aib pada barang yang dijual beli. Namun kecacatan itu tidak diketahui pada saat akad pembelian berlangsung," jelasnya.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 23 Oktober 2021. Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin) 

Attachments