Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

RAIH KASIH SAYANG ALLAH MELALUI TAUBAT

SENGKURONG, Rabu, 8 September. - Setiap Bani Adam pasti telah melakukan kesalahan, akan tetapi sebaik-baik orang yang bersalah adalah yang bertaubat dan kemahuan bertaubat adalah cara Allah Subhanahu Wata'ala dalam menyayangi hamba-hamba-Nya.

Taubat bererti kembali kepada kebajikan (taat) kepada Allah dan Rasul-Nya selepas menjauh (derhaka) kepada-Nya.

Kerana itulah, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam mengajarkan kepada umatnya agar setiap kali melakukan kesilapan agar segera bertaubat, maka segeralah bertaubat sebelum kematian menjemput mu.

Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) baru-baru ini menganjurkan siri pengajian bertajuk 'Meraih Kasih Sayang Allah Melalui Taubat' menerusi huraian dan pengajian dari Kitab Mukhtasar Minhaj al-'abidin.

ceramah_110921.png

Inti pati huraian pengajian tersebut disampaikan oleh Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath, Dr. Harapandi Dahri, secara langsung melalui laman Instagram @pppjkt_kupusb setiap Selasa, dari jam 8.00 hingga 9.00 malam kepada orang awam yang berminat.

Dr. Harapandi Dahri juga menjelaskan, orang yang sedar akan kesilapannya bererti ia telah mendapatkan tuntunan ilahi dan kasih sayang Allah Azza Wajalla, di mana menurut beliau, antara tanda taubat yang diterima Allah Subhanahu Wata'ala adalah rasa sayang terhadap semua makhluk semakin besar dan kuat.

Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassalam bersabda yang bermaksud : ''Orang-orang yang berkasih sayang di dunia, ia akan disayangi Allah Subhanahu Wata'ala, kerana itu sayangilah semua orang yang ada di muka bumi ini, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan meminta seluruh penghuni langit untuk menyayangi kita''.

Beliau juga turut mengongsikan, wujudnya kasih sayang hamba kepada Allah Subhanahu Wata'ala, akan terlihat dalam sikap kasih sayangnya kepada sesama makhluk.

Ini kerana terangnya, Allah Subhanahu Wata'ala memberikan kepastian bagi sesiapa yang berkasih sayang kepada makhluk-Nya, maka Allah Subhanahu Wata'ala akan menyayanginya dan akan meminta semua penghuni langit menyayanginya.

Dr. Harapandi Dahri juga merumuskan bahawa kasih sayang yang mudah dirasakan itu ialah tatkala Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam memberikan anjuran untuk menyampaikan 'ucapan' salam, Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 September 2021. Oleh : Khartini Hamir Infografik : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments