Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI SERAH KUTIPAN DERMA

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 2 Ogos. - Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 yang masih dibukakan sehingga 23 Ogos, hari ini menerima derma sejumlah BND10,000 daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam yang diserahkan pada satu majlis di bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), di sini.

Penyerahan sumbangan tersebut diterima oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin daripada Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD), Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz; Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal; Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB), Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman dan Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Besar.

derma_tabungpalestin.png

YANG Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (tiga, kanan) menerima derma sejumlah BND10,000 daripada institusi-institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam yang diserahkan oleh Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) (tiga, kiri); Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) (empat, kanan); Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) (dua, kiri); dan Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (empat, kiri) hasil kutipan daripada Program Amal Varsity Run 2021 anjuran bersama UBD, UNISSA, UTB dan KUPU SB bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-75 bagi Tahun 2021.

Sumbangan berkenaan adalah hasil kutipan daripada Program Amal Varsity Run 2021 anjuran bersama UBD, UNISSA, UTB dan KUPU SB bersempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke-75 bagi Tahun 2021, yang telah diadakan pada 25 Julai lalu.

Turut hadir bagi menyaksikan penyerahan derma tersebut ialah Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan dan Kebudayaan) KKBS, Dayang Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari dan Timbalan Setiausaha Tetap (Kemasyarakatan) KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid @ Burut serta wakil-wakil daripada institusi-institusi berkenaan.

Tabung Kemanusiaan Palestin 2021 dibukakan kepada orang ramai selama tiga bulan bermula 26 Mei 2021 sebagai sebuah platform yang disediakan oleh pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia untuk membuka peluang kepada orang ramai menyumbangkan derma berbentuk kewangan secara langsung dan telus serta bagi membolehkan pelbagai pihak untuk menganjurkan aktiviti-aktiviti amal dan berkebajikan demi meringankan beban mangsa-mangsa di Palestin.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 04 Ogos 2021. Berita dan Foto : Hernie Suliana Haji Othman)

Attachments