Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BANTU PESERTA BENTUK CIRI KEPIMPINAN, KERJA BERPASUKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu 10 Julai. - Program Akademi Kepimpinan Melayu Islam Beraja (MIB) 2021 / 2022, anjuran bersama Persatuan Pelajar Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, berlangsung selama lima hari, mulai 7 hingga 11 Julai 2021.

Majlis Apresiasi bagi Peserta Program Akademi Kepimpinan MIB tersebut diadakan hari ini, bertempat di Dewan Silaturrahim, Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

12july.jpg

SESI bergambar ramai pada Program Akademi Kepimpinan Melayu Islam Beraja (MIB) 2021 / 2022 tersebut

Hadir selaku tetamu kehormat dalam Majlis tersebut, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Hadzmin bin Abang Haji Taha.

Antara pengisian aktiviti program tersebut, taklimat / bengkel, kerja berpasukan, kerohanian, pengucapan umum dan khidmat masyarakat.

Bertemakan 'Pemimpin Bertaqwa Persatuan Berkat', objektif program ini adalah bagi melahirkan pemimpin yang bertakwa, profesional dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas juga tanggungjawab yang diamanahkan.

Ia juga untuk merapikan pengurusan aktiviti dan program pelajar, sama ada yang diadakan dalam dan luar kampus KUPU SB juga menerapkan dan meningkatkan kerja berpasukan dalam merancang, menyusun, melaksanakan juga membuat laporan aktiviti dan program dengan lebih sempurna, teratur juga bersistematik dalam masa yang sama memberikan mereka latihan dan kemahiran yang cukup untuk melengkapkan diri mereka bagi menghadapi cabaran yang akan dihadapi dari semasa ke semasa.

Seramai 36 peserta daripada kalangan mahasiswa dan 20 pegawai juga kakitangan dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB terpilih menyertai program tersebut.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai, diketuai oleh peserta Program Akademi Kepimpinan MIB, KUPU SB, Awang Muhammad Aqil Arfan bin Arjune dan diselajurkan dengan bacaan Zikir Asmaul Husna juga lagu kebangsaan secara beramai-ramai.

Pengerusi Program, Dekan Pelajar, Bahagian Hal Ehwal Pelajar KUPU SB, Awang Ali Hardi bin Haji Mohamed, dalam ucapannya menjelaskan, bahawa Program ini adalah untuk merealisasi visi dan misi KUPU SB, melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar dalam mengambil inisiatif untuk mengadakan Program Akademi Kepimpinan bagi pelajar-pelajar baharu, bertujuan untuk membina pengetahuan, khususnya dalam kepimpinan, disiplin dan ketahanan diri dalam usaha meningkatkan semangat kerja berpasukan juga keyakinan diri melalui sikap yang positif dan kecekalan hati.

Dengan program ini, ia akan melahirkan pemimpin yang bertakwa, profesional dan bertanggungjawab. Menerapkan juga meningkatkan nilai kerja berpasukan mengikut tema 'Pemimpin Bertaqwa Persatuan Berkat'.

Seterusnya, Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Hadzim selaku tetamu kehormat majlis dalam ucapannya, menjelaskan tentang program ini yang menjurus pada kepimpinan diri dan kepimpinan berkumpulan juga ia mengajar dan melatih para peserta bersesuaian dengan semasa.

Tambahnya lagi, menjadi pemimpin boleh dilihat sebagai satu keistimewaan atau kelebihan, iaitu kelebihan dalam memberikan khidmat berkebajikan berbanding yang lain.

Dalam masa yang sama, ia adalah kewajipan yang pastinya mengandungi cabaran yang harus dihadapi dan tanggungjawab yang perlu dipikul juga dilaksanakan dengan amanah dan hikmah.

Namun, selaku mahasiswa pula, ujarnya, hendaklah berusaha mengimbangi di antara tanggungjawab akademik, kokurikulum dan sahsiah.

''Dalam memimpin kumpulan pula, hendaklah sentiasa mengutamakan maslahat atau kebajikan kumpulan daripada maslahat peribadi, bahawa apabila maslahat berkumpulan terjaga, maka maslahat peribadi juga akan turut terjaga, akan tetapi jika maslahat peribadi yang didahulukan belum tentu maslahat berkumpulan akan terjaga, bahkan maslahat peribadi itu sendiri pun (jika ia tercapai) tidak akan bersifat kekal lama,'' terangnya.

Sementara itu, wakil peserta Program Akademi Kepimpinan MIB, Awang Abdul Hadi Nasrullah bin Muhammad Ahraf @ Eddy Asrul bin Asut, menjelaskan, di mana banyak pengalaman yang diperoleh dan segala aktiviti yang diikuti sepanjang program ini membina juga membentuk ciri-ciri kepimpinan dan kerja berpasukan.

Segala pengalaman ini, jelas beliau, akan dimanfaatkan dalam menghadapi cabaran hidup, terutama sekali di dalam dunia pekerjaan, tambahan lagi, sebagai bakal guru-guru ugama, pendakwah juga peneraju agama Islam, sepatutnya mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang berkualiti selaras dengan ajaran Islam dan berkesan.

Majlis selanjutnya, diteruskan dengan tayangan video sepanjang Program Kepimpinan dijalankan. Acara diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta, fasilitator dan cenderamata kepada wakil Pusat Belia Bandar Seri Begawan, Awang Haji Ramli bin Haji Kurus daripada tetamu kehormat majlis.

Majlis diberkati dengan bacaan Doa Penutup oleh Penolong Ketua Exco Keugamaan dan Ta'mir Surau Majlis Perwakilan Pelajar, KUPU SB, Sodikeen Masan.

 

 (Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 12 Julai 2021. Oleh: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan. Foto: Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)


Attachments