Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TANGANI MUSIBAH DENGAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 7 Julai. - Perbincangan mengenai prinsip akidah dalam menangani sebarang musibah dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah antara yang dibincangkan oleh Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. 

Inti pati ucaptama kedua bertajuk 'Peranan Institusi Dalam Mendepani Kesejahteraan dan Keamanan Serantau Semasa Pandemik COVID-19' juga menyentuh mengenai persediaan mencegah jangkitan COVID-19 dengan penilaian berterusan apabila kes di Negara Brunei Darussalam (NBD) dikesan dan seterusnya tindakan cepat yang dilaksanakan oleh kerajaan dan orang ramai, iaitu bersiap sedia menggunakan sungkup muka (face mask) dan mengikuti Standard Operating Procedure (SOP).

Manakala sekolah, masjid dan sempadan ditutup dan aktiviti jarak jauh untuk bekerja dari rumah serta pengasingan aktiviti keramaian cuma diadakan di rumah masing-masing.

 july7-1.jpg

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan semasa membentangkan ucaptama kedua persidangan.

"Semua ini adalah norma baharu sejak tercetusnya wabak COVID-19 dan melalui pandemik tersebut adalah penting untuk kita semua mensyukuri nikmat kesihatan sebagai anugerah Allah," jelas Dr. Haji Adanan pada Majlis Persidangan Antarabangsa Pemikiran Islam Kali Kedua 2021 yang dianjurkan secara kolaborasi hari ini menerusi dalam talian.

Beliau juga menerangkan setiap institusi kesihatan, pendidikan, ugama dan kerajaan, termasuk Institusi Pengajian Tinggi mempunyai peranan masing-masing dalam mendepani pandemik COVID-19.

 july7-2.jpg

Katanya, 'Vaksin Ketuhanan' berupa ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa, iaitu Qunut Nazilah, doa tolak bala, doa dijauhi penyakit, zikir pagi petang, doa harian dan doa keselamatan negara juga merupakan salah satu usaha utama yang dilaksanakan di NBD.

july7-3.jpg

Pendekatan sunnah terhadap wabak COVID-19 tambahnya, memakan makanan dan ubat barakah, zikir harian, doa, menjaga kebersihan diri sendiri seperti selalu mencuci tangan, lazim kumur-kumur dan bersihkan kerongkong, mencuci dalaman hidung, berwuduk dan bersiwak, tutup mulut jika batuk, bersin dan tutup mulut, beramal dengan herba barakah sunnah perlulah makanan tersebut yakin halal dan 'toyyib', ubat semua penyakit kecuali mati, iaitu Habbatus Sauda, madu kurma, minyak zaitun, susu (minuman fitra), air zam-zam, buah tempatan, labu (kegemaran Rasulullah) dan halia (minuman ahli syurga).

Persidangan secara dalam talian tersebut adalah kerjasama KUPU SB melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dengan Institut Ahli Sunnah Waljamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Perpustakaan Tunku Tun Aminah Johor, Majlis Agama Islam Negeri Johor, Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Jabatan Mufti Negeri Johor.

Sub-tema persidangan merangkumi empat perkara, iaitu perbincangan isu akidah / ancaman dan penyelewengan pemikiran semasa, syariah dan undang-undang keluarga, dakwah dan peranan institusi, ekonomi dan kewangan Islam serta inovasi Islam.

Ucaptama pertama bertajuk 'Peranan Institusi Agama Dalam Memelihara Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah di Johor Semasa Pandemik COVID-19' yang diketengahkan oleh Mufti Negeri Johor, Sahibus Samahah Yang Berhormat Dato' Haji Yahya bin Haji Ahmad menekankan COVID-19 yang melanda seluruh dunia merupakan ujian besar buat umat Islam.

Selain wabak tersebut mengancam nyawa manusia, banyak sektor seperti sektor ekonomi, pendidikan, sosial, termasuk sektor agama terjejas akibat penularan wabak tersebut dan apa yang paling membimbangkan kebelakangan ini ialah berlaku peningkatan kes membunuh diri dan cubaan membunuh diri kesan daripada kekacauan jiwa akibat penularan pandemik itu.

Beliau menegaskan umat Islam sewajarnya menerima ujian ini sebagai suatu ketetapan dari Allah Subhanahu Wata'ala, di samping berusaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah dan melindungi diri dan keluarga daripada wabak tersebut.

Katanya, peranan institusi agama dalam memelihara Manhaj Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepanjang COVID-19, dari sudut akidah, menerima musibah ini sebagai suatu qada dan qadar yang ditetapkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala, mengajak umat Islam mengubah sudut pandang dalam menghadapi ujian getir wabak COVID-19 ini sebagai salah satu babak kecil dalam rantaian kehidupan panjang insan yang tuhan jadikan keseluruhannya dengan hikmah.

Selain itu, tambahnya, mengajak umat Islam mengubah sudut pandang dalam menghadapi ujian getir wabak COVID-19 ini kepada perkara yang lebih kekal dalam kehidupan, iaitu kembali kepada Allah dan kembali kepada tumpuan untuk mengumpul sebanyak-banyak bekalan untuk akhirat, mengubah tumpuan kita kepada mendalami ilmu-ilmu yang dapat meyakinkan jiwa terhadap nilai-nilai abadi dalam kehidupan seperti ilmu agama dan akhlak. 

Antara fatwa berkaitan syariah yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor sepanjang COVID-19 adalah penangguhan solat Jumaat, solat berjemaah lima waktu dan apa juga aktiviti di semua masjid, surau dan 'musolla' di Negeri Johor dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelaksanaan Solat Jumaat Dalam Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) COVID-19.

Manakala ucaptama ketiga disampaikan oleh Ketua Hakim Syarie Negeri Johor, Jabatan Kehakiman dan Syariah, Yang Amat Arif Tuan Haji Muhammad Khaldun bin Mohamad Sharif dengan tajuk 'Impak Institusi Keluarga Muslim Semasa COVID-19'.

Yang Amat Arif menjelaskan bahawa SOP PKP dilaksanakan bagi membendung penularan wabak bermula Mac 2020. SOP PKP tersebut juga melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) dengan kekuatan lima orang panel Hakim Mahkamah Rayuan, enam orang Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan 10 orang Tuan Hakim Mahkamah Rendah Syariah serta dibantu oleh 116 orang kakitangan JKSNJ seluruh Negeri Johor.

Kesan daripada wabak tersebut, banyak kes perbicaraan terpaksa ditangguh, enakmen Tatacara Mal dan Jenayah serta Arahan-arahan Amalan KHS Negeri Johor menjadi terbatas dan perbicaraan tidak dapat dilaksanakan. Jumlah kes yang didaftar dan kes yang berjaya diselesaikan amat berbeza sebelum pandemik dan selepas pandemik. Ini adalah kerana penutupan mahkamah yang menyebabkan banyak kes yang didaftar gagal diselesaikan.

Inisiatif JKSNJ dalam tempoh pandemik ialah mewujudkan punca kuasa bagi perbicaraan secara 'online', membangunkan sistem MyPliding, pembelian peralatan sokongan dan permohonan bajet tambahan kepada kerajaan Negeri Johor.

Sementara itu, Pengarah Institut Ahli Sunnah Wal Jamaah, UTHM, Yang Berbahagia Encik Mustapahayuddin bin Abdul Khalim menghuraikan Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi persekutuan berasaskan pegangan Ahlus Sunnah Wal Jamaah (ASWAJA) daripada segi aqidah, syariah dan akhlak. Pindaan agama bagi persekutuan dan negeri-negeri hendaklah agama Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah dari segi aqidah, syariah dan akhlak.

Meneruis ucaptama keempat bertajuk 'Peranan Institusi Pendidikan Dalam Memperkasa Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah Semasa Pandemik COVID-19' itu, beliau juga membincangkan mengenai peranan pemantapan ASWAJA dilakukan melalui praktikal amali dan tidak berorientasikan teori semata-mata seperti menunaikan sembahyang pada awal waktu dan persoalan bangun pada waktu malam untuk menunaikan Sembahyang Tahajud.

Selain itu, ia juga melahirkan masyarakat yang jelas pendirian akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran sesat. Peranan universiti pula semakin ketara dalam memperkasakan Manhaj Akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kalangan masyarakat.

Ia berperanan sebagai sistem perkhidmatan ekonomi pengetahuan dengan menghasilkan tenaga buruh, menghasilkan inovasi dan menyediakan kemudahan berkesan dalam komunikasi / penyebaran maklumat kepada masyarakat dalam sesebuah negara.

Pembentangan persidangan secara dalam talian itu juga diteruskan pada sesi sebelah petang dengan tiga sesi pembentangan selari yang berkaitan dengan tema persidangan 'Peranan Institusi Dalam Mendepani Kesejahteraan dan Keamanan Serantau Semasa Pandemik COVID-19' yang bermatlamat bagi memberi ruang kepada para peserta membincangkan peranan institusi keluarga Ahli Sunnah Waljamaah dalam mendepani keamanan dan kesejahteraan di peringkat serantau.

Selain itu, ia juga untuk meningkatkan budaya kerjasama melalui perkongsian maklumat dan kepakaran dalam bidang masing-masing dalam kalangan pembentang kertas kerja dan para peserta.

Dengan adanya wadah seperti ini diharapkan akan dapat mewujudkan jaringan kepakaran antara ahli-ahli akademik dan profesional dalam pelbagai disiplin dalam kerangka pemikiran Ahli Sunnah Waljamaah, sama ada peringkat dalam dan luar negara.


 

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu, 10 Julai 2021. Oleh: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto: Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)


Attachments