Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERKUKUH PENGAJARAN, PEMBELAJARAN BERLANDASKAN AJARAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH

TUNGKU LINK, Khamis, 16 Oktober. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) sebagai sebuah institusi perguruan ugama di negara ini, memainkan peranan amat penting dalam melahirkan modal guru.

Namun perlu diingat pencapaian bukan diukur melalui akademik semata-mata tetapi juga melalui keupayaan guru-guru dalam membentuk akhlak yang mulia bagi pelajar dengan ilmu-ilmu Islam berlandaskan aliran Ahli Sunnah Wa l j a m a a h .

konvo15 art2.png

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor KUPU SB bertitah menekankan perkara tersebut semasa Majlis Konvokesyen Ke-15 KUPU SB yang berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam, di sini.

Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, mengambil maklum dan menyambut baik usaha KUPU SB dalam memperkemas Pelan Strategiknya 2025-2029 yang antara lain memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, penguasaan kemahiran dan pembentukan akhlak mulia melalui pengemaskinian struktur program dan pengisian kurikulum yang lebih relevan, yang sejajar dengan keperluan semasa.

Seiring dengan perkembangan teknologi melalui Kecerdasan Buatan (AI), titah baginda, KUPU SB juga sebagaimana institusi pengajian tinggi yang lain perlu bijak memanfaatkan peluang ini untuk mempertingkatkan penguasaan teknologi supaya para mahasiswa dan tenaga akademik tidak ketinggalan dalam saingan arus perdana.

"Beta melihat teknologi berpotensi untuk dijadikan platform yang berkesan dalam memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran sejajar dengan usaha berterusan pihak kerajaan menyebarkan ajaran ugama Islam berlandaskan aliran Ahli Sunnah Waljamaah," titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Walau bagaimanapun, baginda mengingatkan bahawa penggunaan teknologi perlu dilakukan secara berhemah supaya tidak menjejaskan nilai, adab serta etika kemanusiaan.

Titah baginda, ia bukan sebagai pengganti peranan guru dalam pendidikan, sesungguhnya sentuhan keramat seorang guru dalam proses pendidikan adalah tetap penting, relevan dan tidak mungkin ditukar ganti.

konvo15 art1.png

KEBAWAH Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) berkenan beramah mesra bersama graduan yang diraikan di Majlis Konvokesyen Ke-15 KUPU SB di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam. – Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit.

Selain daripada kejayaan pendidikan Islam, Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga bertitah, menyeru agar KUPU SB terus menjadi benteng kepada pelbagai aliran pemikiran tentang Islam, yang ada di antaranya, bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Waljamaah.

Kerana itu baginda bertitah, mengingatkan KUPU SB dan seluruh warganya mesti memahami perkara ini dengan bersedia untuk menangkis segala serangan pemikiran atau ideologi baharu yang bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

Terdahulu itu, Kebawah DYMM bertitah, dengan sukacita merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada para graduan yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada hari ini sebagai tanda kejayaan mereka dalam pengajian di KUPU SB.

Kebawah DYMM dalam titah juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada para ibu bapa, penjaga dan pensyarah yang telah menyumbangkan sokongan kepada para graduan sehingga mereka beroleh kejayaan.

"Akhirnya, beta ingin mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Ahli Majlis KUPU SB, barisan pentadbiran dan pengurusan KUPU SB, di bawah pimpinan Ra'es, para pensyarah dan seluruh warga KUPU SB. Tidak lupa juga kepada ibu bapa dan penjaga graduan yang turut sama-sama hadir memeriahkan dan meraikan kejayaan anak-anak mereka dalam Majlis Konvokesyen Ke-15 ini," jelas Kebawah DYMM semasa mengakhiri titah.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 18 Oktober 2025. Oleh : Haniza Abdul Latif​)


Attachments