Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BELIA ADALAH TIANG, SANDARAN NEGARA

​KILANAS, Rabu, 17 September. - Golongan remaja dan belia merupakan tiang dan sandaran negara serta menjadi sumber tenaga manusia yang sangat bernilai.

Pada mereka diletakkan cita-cita serta harapan negara di masa hadapan. Sebagai harapan negara, mereka memikul tanggungjawab yang amat besar.

Justeru, mereka perlu dibentuk dan dipersiapkan dengan tarbiah, nilai-nilai dan kefahaman Islam sejak dari kecil lagi bagi mengharungi arus dunia yang penuh pancaroba.

Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memberikan didikan daripada aspek agama dan sosial yang sempurna kepada anak-anak semenjak mereka kecil lagi.

Keluarga yang tidak dibentuk berlandaskan ajaran agama Islam, boleh mengundang pelbagai masalah sosial yang semakin mencengkam dewasa ini.

Perkara berkenaan merupakan inti pati yang dikongsikan dalam Program Santai Tapi Sampai : Bicara Jiwa Remaja Muslim, yang telah diadakan malam ini bertempat di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Kilanas, di sini.

program santai1.png

PROGRAM Santai Tapi Sampai : Bicara Jiwa Remaja Muslim, yang diadakan di Masjid Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit, Kampung Kilanas (atas), manakala gambar bawah, Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama hadir selaku tetamu kehormat majlis

program santai2.png

Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Bertemakan 'Remaja Muslim di Era Teknologi : Antara Harapan dan Cabaran', program berkenaan mengetengahkan empat orang ahli panel, iaitu Profesor Dr. Abdul Somad, Penceramah Bertauliah Undangan; Pengasas Bersama LZ Hussin and Co., Dayang Lailatul Zubaidah binti Haji Mohammad Hussain; Dayang Nur Izzay Aziah binti Ahmad, siswi Diploma Tertinggi 'Aliyah   Qira'at, Institut Tahfiz   Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah; dan Awang Mohammed Khairul Muaz bin Haji Sibodaud, siswa Sarjana Perguruan Ugama (Kajian Ahli Sunnah Waljamaah), Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Program kelolaan KUPU SB dan Syarikat An Naafii Co. berkenaan antara lain bertujuan untuk menyantuni jiwa remaja dan pelajar melalui pendekatan dakwah yang santai, relevan dan menyentuh isi-isu kehidupan sebenar yang dihadapi oleh generasi muda masa kini.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 20 September 2025. Oleh: Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim Foto : Mohammad Hasif Matzin​)


Attachments