Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KENAL PASTI RUKUN DAKWAH DENGAN JELAS

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 17 Jun. - Pembentangan bengkel bertajuk 'Meningkatkan Kemahiran Dakwah Relevan dengan Perkembangan Semasa' antara lain membincangkan mengenai amalan cara solat Mazhab Al-Syafi'e, mengukuhkan sahsiah diri da'ie yang Murabbi, akhlak da'ie yang Rabbani, intelek da'ie yang Muslih dan teknik dakwah da'ie yang Mukhlas dari aspek kerohanian, intelektual, fizikal, akhlak, sosial dan kerjanya.

Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar juga menerangkan mengenai isu-isu dalam masyarakat yang perlu difokuskan dalam dakwah serta cadangan pendekatan dakwah berkesan.

Terdahulu, Dr. Haji Adanan menjelaskan kepentingan untuk sentiasa merujuk kepada sumber paling utama dalam kehidupan, iaitu Al-Quran dan Sunnah, memahami isi dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya.

Pada Majlis Penutup Bengkel Memantapkan Dakwah berlangsung di Dewan Tarbiah di sini, Dr. Haji Adanan juga menyatakan, secara praktiknya dilihat daripada akhlak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam yang merupakan akhlak Al-Quran. Segala yang terkandung dalam Al-Quran tercermin dalam diri Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam semua aspek seperti hidup bermasyarakat, berkeluarga, kepimpinan dan sebagainya.

bengkel_dakwah4a.jpg

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) ketika menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta Bengkel Memantapkan Dakwah (kiri sekali dan kiri).

Majlis anjuran bersama KUPU SB melalui Fakulti Usuluddin dan Pusat Da'wah Islamiah diakhiri dengan penyampaian sijil kepada para peserta yang disampaikan oleh Ra'es KUPU SB.

Pegawai Ugama Kanan Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Ahmad Abdussalam bin Haji Abdul Rahman selaku Timbalan Pengerusi Bersama Bengkel dalam ucapan alu-aluan menjelaskan bahawa antara pengisian bengkel termasuk teknologi dakwah, English for dakwah, dakwah dalam media dan aliran pemikiran kontemporari, diharapkan dapat memperkasa da'ie yang menyertai bengkel tersebut.

Melalui integrasi ilmu teori dan praktik, jelasnya akan dapat memantapkan lagi strategi dakwah yang tajam, relevan dengan situasi perubahan semasa dan cakna masyarakat.

Pelbagai ilmu telah diperjelaskan meliputi metodologi dakwah, komponen-komponen utama sasaran dakwah, media teknologi dakwah dan kemahiran bahasa yang perlu dalam penyampaian mesej dakwah juga diharapkan bengkel tersebut berupaya meningkatkan kemahiran dan kewibawaan penceramah-penceramah atau da'ie tempatan.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Naqib bin Haji Awang selaku wakil peserta bengkel dalam ucapannya menjelaskan bahawa bengkel yang diungkayahkan sangat menyuntik semangat peserta da'ie untuk terus berdakwah dalam mengajak manusia ke jalan Allah Subhanahu Wata'ala dan ia merupakan tugas mulia dan utama para Rasul 'alaihimussalam.

Melalui bengkel tersebut, jelas beliau juga menekankan kepentingan mengenal pasti rukun-rukun dakwah secara jelas, kaedah dan mesej dalam berdakwah, memastikan ketepatan isi kandungan dakwah, mengetahui syajaratul 'ilm, kepentingan Kitab Turath, memahami aliran pemikiran semasa dan banyak lagi. Turut diharapkan oleh peserta agar bengkel berkenaan boleh diteruskan ke peringkat lanjutan dan lebih fokus kepada satu-satu bidang ilmu seperti 'Ulum Hadis, Kitab Turath, Ketamadunan Islam dan sebagainya.

Selain itu, tambahnya, diperlukan bengkel lanjutan yang boleh membantu memantapkan lagi diri para da'ie itu sendiri, kerohanian atau spiritualnya selain intelek dan keilmuannya. Maka dengan mantapnya da'ie dan dakwahnya maka akan tajamlah dakwah Islamiah di Negara Brunei Darussalam.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pegawai-pegawai Utama KUPU SB dan Pusat Da'wah Islamiah, pegawaipegawai daripada jabatan-jabatan kerajaan, perwakilan daripada Al-Minhaj Centre serta Da'ie Bertauliah Majlis Ugama Islam, pensyarah-pensyarah dan kakitangan KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 19 Ogos 2021. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi, Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments