Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

BERAMAL, BERKHIDMAT UNTUK MASYARAKAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 28 April. - Ra'es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar menyatakan bahawa KUPU SB sedaya upaya untuk menyumbangkan sebarang bantuan bagi mereka yang memerlukan kerana KUPU SB berusaha bagi sama-sama beramal dan berkhidmat untuk masyarakat dalam mengharapkan ganjaran pahala.

Semasa memberikan kata-kata nasihat, Dr. Haji Adanan juga menekankan untuk sentiasa menjaga hubungan kita dengan Allah Subhanahu Wata'ala dan atas sumbangan yang dikendalikan itu juga atas bantuan-Nya jua.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan seterusnya menyampaikan sumbangan ialah Ra'es KUPU SB yang berlangsung di Surau Siswa Kolej berkenaan, di sini.

Lebih daripada 40 keluarga terpilih hari ini untuk menerima sumbangan berupa barang-barang keperluan dan makanan asasi daripada KUPU SB melalui Program Mahabbah Ramadan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB.

sumbangan01.jpg

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (tengah) semasa menyampaikan sumbangan berupa barang-barang keperluan dan makanan asasi daripada KUPU SB melalui Program Mahabbah Ramadan yang dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, KUPU SB.

Program ini mula diperkenalkan pada tahun 2017 dan merupakan satu aktiviti dalam rancangan tahunan KUPU SB yang berkonsepkan memberikan sumbangan kepada keluarga yang memerlukan. Tahun ini, ia telah diadakan di keempat-empat daerah bermula pada 28 hingga 29 April 2021.

Sementara di Daerah Tutong, program yang sama diadakan di Masjid Kampung Penapar yang disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha.

Di Daerah Belait pula, penyampaian sumbangan diadakan di Masjid Zainab Kampung Lumut, Kuala Belait dan disempurnakan oleh Timbalan Pengarah, Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Dayangku Zainab binti Haji Tuah.

Manakala di Daerah Temburong, sumbangan sesi pagi tersebut diserahkan ke beberapa buah rumah keluarga terpilih oleh Pemangku Penolong Ra'es KUPU SB, Datin Dr. Hajah Noor Hira bin Haji Noor Kaseh dan Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Pengiran Muhammad Ameer Mubaarak bin Pengiran Haji Hashim seterusnya menyampaikan pada sesi petang.

Turut diadakan di daerah berkenaan ialah pengagihan sumbangan dan sahur ke rumah-rumah keluarga penerima yang terpilih bertempat di Kampung Selangan, Parit dan Biang serta di Masjid Kampung Selangan, Daerah Temburong.

Antara objektif program ini diadakan adalah untuk meraih keagungan bulan Ramadan dengan melakukan kebajikan yang berbentuk khidmat masyarakat serta mempergiatkan penglibatan dan sumbangan pihak KUPU SB kepada masyarakat. Program disertai oleh para pegawai dan kakitangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 01 Mei 2021. Berita dan Foto : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments