Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MANTAPKAN PENGHAYATAN JATI DIRI KEBRUNEIAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 10 April. - Simposium Pendidikan Negara Zikir Melayu Islam Beraja (MIB) anjuran bersama Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Pejabat Sekretariat Majlis Tertinggi MIB Negara Brunei Darussalam dibuka hari ini sejurus majlis perasmian berlangsung di Dewan Tarbiah, KUPU SB, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang juga selaku Ahli Majlis Tertinggi MIB 2021 - 2024.

simposium_mib2a.jpg

YANG Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama selaku Ahli Majlis Tertinggi 2021-2024 semasa merasmikan Simposium Pendidikan Negara Zikir Melayu Islam Beraja (MIB).

Majlis dimulakan dengan bacaan Asmaul Husna dan nyanyian Lagu Kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan', diikuti bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, iaitu Surah Al-Mujadalah, ayat 11-12 oleh Pegawai Pelajaran (Taranum), Pusat Ilmu Teras KUPU SB, Awang Haji Nasrul Fakhri bin Haji Yahya.

Pengarah Pusat Ilmu Teras, Awang Kharhan bin Haji Jait, selaku Pengerusi Simposium dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan bahawa penganjuran Simposium berkenaan merupakan Kuliah Perdana Kursus Negara Zikir MIB dari kuliah-kuliah yang dilaksanakan di KUPU SB sebelumnya dengan mengembangkan lagi skop sasaran bukan sahaja kepada pelajar KUPU SB bahkan kini dibukakan kepada pegawaipegawai kanan, pegawai-pegawai kerajaan, Tenaga-tenaga Pengajar Kursus MIB dari institusi-institusi pengajian tinggi, Pegawai Kurikulum dari Unit MIB Jabatan Kurikulum Kementerian Pendidikan, Guru-guru mata pelajaran MIB dari sekolah-sekolah menengah dan rendah dari kerajaan dan swasta, pelajarpelajar dari institusi-institusi pengajian tinggi dan masyarakat awam.

simposium_mib2b.jpg
PAMERAN Adat dan Budaya Masyarakat Brunei daripada para Mahasiswa Kursus Minor Pendidikan MIB yang mengetengahkan kuih-muih dan masakan tradisi Brunei, adat perkahwinan orang Melayu Brunei juga peralatan menangkap ikan, di samping jualan buku. (atas, kanan, bawah)
simposium_mib2c.jpg

simposium_mib2d.jpg

Jelasnya, ia adalah untuk mengambil manfaat daripadanya sesuai dengan matlamat penganjuran untuk mengukuhkan dan memantapkan lagi penghayatan nilai dan jati diri kebruneian / calak Brunei dan kelestarian kehidupan melalui MIB dan bagi menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang menekankan peri kepentingan sistem nilai sebagai tunjang dalam MIB.

Majlis diteruskan lagi dengan tayangan klip video 'Pemasyhuran Hari Kemerdekaan Negara Brunei Darussalam 1984' dan diselajurkan dengan laungan takbir pengisytiharan kemerdekaan beramai-ramai, diikuti dengan persembahan hadrah daripada mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.

Selain itu, pameran juga diadakan di ruang lobi KUPU SB, iaitu Pameran Adat dan Budaya Masyarakat Brunei dari Mahasiswa Mahasiswi Kursus Minor Pendidikan MIB yang mengetengahkan kuih-muih tradisi dan masakan tradisi Brunei, adat perkahwinan orang Melayu Brunei juga peralatan menangkap ikan.

Adapun objektif pameran itu antaranya sebagai pembarigaan kepelbagaian adat dan budaya masyarakat Brunei dan untuk meningkatkan penghayatan terhadap nilai adat dalam kalangan para belia.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 12 April 2021 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments