Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

LEBIH 100 SERTAI KURSUS INTENSIF SOLAT

BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 5 Mac. - Kursus Intensif Menghalusi Solat dan Rahsianya anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Fakulti Syariah diakhiri dengan Majlis Penutup dan Penyampaian Sijil bagi para peserta, bertempat di Dewan Ta'lim, kolej universiti berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam ucapannya, Dr. Haji Adanan berdoa kepada Allah Subhanahu Wata'ala agar semua umat Islam sentiasa diberi hidayah dan kekuatan untuk menuntut ilmu dan turut menyeru agar semua sentiasa mengamalkan solat berjemaah di masjid.

Menurut Dr. Haji Adanan lagi, terdapat tiga perkara yang akan mendapat jaminan peliharaan, dicukupkan keperluan hidup dan dijamin kebahagiaan akhirat oleh Allah Subhanahu Wata'ala, iaitu masuk rumah dengan bacaan Basmallah dan memberi salam, keluar rumah untuk menuju ke masjid, terutamanya untuk mengerjakan solat maghrib dan diteruskan dengan solat Isyak juga yang terakhir, orang yang keluar Fi Sabilillah.

kursus_solat01.png

RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) (tengah) menyempurnakan penyampaian sijil kepada peserta Kursus Intensif Menghalusi Solat dan Rahsianya. 

Terlebih dahulu, dalam ucapan yang disampaikan oleh Dekan Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar, antara lain menyatakan, bahawa menyedari akan pentingnya menunaikan ibadat solat secara sempurna, maka penganjuran kursus tersebut merupakan usaha KUPU SB yang berterusan dalam memainkan peranannya ke arah mempertahankan dan menyebarkan ajaran Islam melalui pendidikan perguruan ugama kepada umat Islam, di Negara Brunei Darussalam juga salah satu komitmen KUPU SB untuk sentiasa memberi sumbangan dan khidmat masyarakat.

Dr. Haji Noralizam, seterusnya memanjatkan rasa syukur kerana walaupun pelaksanaan kursus tersebut sempat tertangguh kerana pandemik COVID-19, namun kursus tersebut dapat disambung pada 19 Februari 2021 hingga 5 Mac 2021 dengan kerjasama semua pihak.

kursus_solat02.png

Antara tunjuk ajar yang ditunjukkan kepada para peserta kursus berkenaan.

Selain daripada kursus intensif solat tersebut, pihak Fakulti Syariah KUPU SB turut membuat perancangan tahunan, termasuk jerayawara menghalusi solat dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah Kementerian Pendidikan; Jaulah Syariah mengenai solat ke masjid-masjid terpilih dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama; dan Jerayawara Demonstrasi solat kepada guru-guru di bawah Kementerian Pendidikan, di seluruh negara.

Sementara itu, Awang Md. Munawwir Sazali bin Haji Md. Idris selaku wakil peserta kursus mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak KUPU SB atas penganjuran kursus tersebut.

Beliau menyampaikan, bahawa banyak kekeliruan dan kemusykilan dalam aspek solat yang dilaksanakan sehari-hari telah dijelaskan dengan sempurna dalam kursus tersebut.

Beliau juga mengharapkan agar semua peserta kursus dapat mengamalkan ilmu yang diperoleh daripada kursus tersebut.

Majlis diteruskan dengan tayangan video Tazkirah, bertajuk 'Rahsia Solat', disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Haji Rauf bin Muhammad Amin dan diselajurkan dengan penyampaian sijil kepada peserta-peserta kursus oleh tetamu kehormat.

Kursus intensif solat yang diadakan bermula pada 14 Februari lalu disertai lebih daripada 100 peserta.

Beberapa tajuk yang terkandung dalam kursus berkenaan dibincangkan, termasuk rahsia solat, Azan dan Iqamah, rukun sembahyang, sujud sahwi, sunat-sunat sembahyang, sembahyang orang yang sakit dan pelbagai tajuk lainnya disampaikan oleh pensyarahpensyarah, Fakulti Syariah KUPU SB.

Turut hadir dalam majlis penutup tersebut, Pemangku Timbalan Ra'es, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Haji Abang Taha; Pemangku Penolong Ra'es, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, Pegawai-pegawai Utama dan Pensyarah KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 06 Mac 2021 oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad Foto : Muhammad Asri Haji Awang Abas, Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments