Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PELBAGAI TAJUK ILMU DIBINCANGKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 24 September. - Kolej Universiti Perguruan Seri Begawan (KUPU SB) diamanahkan untuk mengukuhkan dan memperjuangkan pendidikan Islam, bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam, akan tetapi juga diharapkan boleh menyebarluaskan peranan dan kedudukannya sebagai pusat ilmu Islam dan pendidikan dalam kalangan negara serantau dan antarabangsa kelak.

Justeru, bagi mencapai matlamat itu, Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB telah menyelaras perbincangan cadangan bagi pelaksanaan MoU Webinar bersama beberapa rakan universiti yang akan membincangkan pelbagai tajuk ilmu bersesuaian dengan bidang dan kepakaran yang dimiliki oleh para akademik KUPU SB.

Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Haji Sulaiman ketika ditemu bual menyatakan bahawa pelaksanaan MoU Webinar bersama universiti-universiti merupakan peluang besar bagi KUPU SB untuk memainkan peranannya sebagai sebuah pusat ilmu perguruan dan pendidikan Islam dengan melibatkan pakar-pakar dari institusi pengajian luar bagi perbincangan mengenai isu-isu berkaitan dengan perkembangan pelbagai bidang.


PENGARAH Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Haji Sulaiman ketika ditemu bual

Inisiatif berkenaan adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor KUPU SB semasa Majlis Konvokesyen Kelima KUPU SB 1437H / 2015M agar KUPU SB bukan sahaja mengambil manfaat terbaik dari pusat-pusat pengajian tinggi luar negara, tetapi perlu menyumbangkan pengalaman tersendiri selaku sebuah institusi perguruan Islam di rantau ini.

Webinar halal dan pendidikan pada 26 September 2020 akan membincangkan mengenai gaya hidup halal dari perspektif industri halal global, peranan sains halal dalam menyokong perkembangan industri halal dunia, peluang dan cabaran yang dihadapi kaum Muslimin dalam menghasilkan produk halal.

Selain itu, Webinar yang dijangka berlangsung selama dua jam itu juga akan menyentuh mengenai perkembangan kegiatan halal di Thailand dan juga faktor-faktor persekitaran yang mempengaruhi pemakanan halal pelajar di negara ini.

Pengiran Siti Katijah seterusnya menjelaskan bahawa Webinar akan bersiaran secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom dan terbuka bagi semua peserta tanpa dikenakan sebarang bayaran. Pelajar-pelajar pascawiswazah khususnya adalah dijemput untuk menyertai Webinar tersebut.

Format Webinar sepanjang dua jam itu nanti berbentuk pembentangan, di mana setiap panel diperlukan untuk menyediakan slaid pembentangan untuk dikongsi semasa perbincangan nanti dan pembentangan setiap panel adalah selama 20-30 minit sementara sesi soal jawab pula selama 15 minit sahaja.

Webinar berkenaan diharap akan menjadi satu platform bagi para akademik KUPU SB khususnya untuk lebih aktif dalam perbincangan, perkongsian dan pertukaran ilmu dan penyelidikan bersama dengan pakar dari Universiti luar.

Selain itu, dapat membincangkan cabaran dan isu-isu berkaitan bidang tajuk yang ditetapkan dalam konteks institusi pendidikan dan perguruan serantau serta menjana cadangan-cadangan yang relevan ke arah meningkatkan ilmu pengetahuan bagi melahirkan para akademik KUPU SB yang berilmu, berakhlak, berdaya saing, berfikiran kritis dan inovatif dalam memenuhi keperluan abad.

Objektif Webinar juga agar menggiat aktifkan aktiviti-aktiviti kerjasama KUPU SB dan universiti - universiti yang termeterai melalui penandatanganan MoU.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 26 September 2020 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)


Attachments