Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PELAJAR BAHARU KUPU SB MULAKAN MINGGU TA'ARUF

TEMBURONG, Isnin, 27 Julai. - Para siswa dan siswi di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) diingatkan untuk menunjukkan identiti sebagai guru ugama melalui keterampilan yang kemas dan busana yang sesuai dengan gelaran sebagai guru yang dihormati.

Perkara tersebut antara yang disentuh semasa taklimat bersama Majlis Persatuan Pelajar (MPP) KUPU SB yang disampaikan oleh Yang Di-Pertua MPP, Awangku Md. Ridhauddin bin Pengiran Md. Amin bagi memulakan Minggu Ta'aruf yang khusus bagi pelajar baharu pengambilan ke-14 dalam program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama, Sesi Pengajian 2020 / 2021.

Program Minggu Ta'aruf kendalian Bahagian Hal Ehwal Pelajar tersebut diadakan selama empat hari bermula hari ini sehingga 30 Julai 2020, bertempat di Kem Latihan, Program Khidmat Bakti Negara (PKBN), Batu Apoi, Daerah Temburong dengan kerjasama Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.


TAKLIMAT bersama Majlis Persatuan Pelajar (MPP) KUPU SB disampaikan oleh Yang Di-Pertua MPP, Awangku Md. Ridhauddin bin Pengiran Md. Amin bagi memulakan Minggu Ta'aruf KUPU SB.

Selain untuk memberi pendedahan tentang kepentingan memahami falsafah, visi dan misi KUPU SB sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, ia juga dihasrat untuk memperkenalkan program, kurikulum dan kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan di bawah kokurikulum KUPU SB dan seterusnya meningkatkan kesedaran dan tanggungjawab dalam mematuhi peraturan di dalam kolej berkenaan.


PELAJAR KUPU SB didedahkan kepada peraturan tentang kepentingan memahami falsafah, visi dan misi KUPU SB sebagai sebuah Institusi Pengajian Tinggi Perguruan Ugama di Negara Brunei Darussalam, selain dihasratkan untuk memperkenalkan program, kurikulum dan kegiatan-kegiatan yang dilaksanakan di bawah kokurikulum, KUPU SB dalam Minggu Ta'aruf selama empat hari.

Para pelajar akan diberikan beberapa taklimat berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran di KUPU SB, program - program dan kursus-kursus yang ditawarkan, sesi pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan kokurikulum yang akan disampaikan oleh dekan-dekan fakulti, pengarah dan ketua bahagian.

Antara beberapa aktiviti keagamaan akan turut dilaksanakan seperti tazkirah malam, sembahyang berjemaah, pembacaan Al-Quran secara berhalaqah, membaca Surah Yaa Siin dan Ratib Al-Attas juga merupakan pengisian program tersebut.

Seramai 253 pelajar baharu akan mengikuti pengajian di KUPU SB dalam pelbagai program perguruan ugama yang akan bermula pada 3 Ogos 2020 nanti.



(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 29 Julai 2020 oleh Hernie Suliana Haji Othman)

Attachments