Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB WADAH DALAM PELBAGAI BIDANG

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 22 Januari. - Negara Brunei Darussalam telah mampu berdiri sendiri dengan mempunyai pusat pengajian perguruan untuk mengeluarkan guru-guru ugama terlatih lagi berilmu. 

 

"Beta sukacita mengetahui bahawa KUPU SB mempunyai banyak rancangan yang berkebajikan seperti mengadakan bengkel-bengkel, seminar-seminar, ceramah-ceramah dan seumpamanya. Ini memanglah bagus ditambah lagi dengan KUPU SB jika turut menyumbang ke arah memperkasa Bahasa Arab di sekolah Arab dan dakwah Islamiah. Sumbangan kepakaran di sini mungkin saja mampu untuk membawa perubahan-perubahan yang dihajati." 

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengenai perkara tersebut semasa mengadakan Lawatan Tidak Berjadual ke Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini. 

 

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah bahawa KUPU SB adalah berpotensi untuk menjadi wadah dalam banyak bidang, mengapa ia tidak digunakan untuk kepentingan agama dan negara. 

 

Dalam masa yang sama, baginda menegaskan bahawa kita memang sangat berhajat kepada perubahan-perubahan positif di dalam semua bidang termasuk bidang pendidikan dan bidang dakwah sosial. Sehubungan itu, kedua-dua bidang ini turut menentukan sejauh mana kita berjaya membangun kerana ia juga adalah pelaburan, titah baginda. 

 

Terdahulu, dalam titah, baginda bersyukur kerana dapat membuat lawatan ke KUPU SB di mana institusi ini telah diisytiharkan penubuhannya pada Awal Tahun Hijrah 1428 bersamaan dengan 20 Januari 2007 sebagai langkah untuk menaik taraf Maktab Perguruan Ugama Seri Begawan. 

 

Penubuhan KUPU SB merupakan mercu tanda dalam memartabatkan perguruan ugama di negara ini malah baginda menegaskan bahawa KUPU SB dihasratkan untuk menjadi sebuah institusi pengajian perguruan ugama yang unggul dan mampu untuk memenuhi keperluan negara di samping bersedia untuk membuka pintunya untuk keluar negara bagi siapa yang berminat. 

 

"Masa depan KUPU SB pada hemat beta adalah cerah berdasarkan kerjaya perguruan ugama adalah sentiasa diperlukan. Pada sesuatu masa dahulu, Brunei pernah ketandusan tenaga guru ugama. Sehingga untuk sekian lamanya terpaksa meminjam daripada negara jiran. Kita tidak lupa untuk merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada negara jiran berkenaan. Semoga ini akan menjadi jambatan untuk kedua-dua negara terus bekerjasama dalam bidang yang amat bermanfaat ini," titah baginda.

(Petikan dari Pelita Brunei, Khamis 23 Januari 2020 oleh Saerah Haji Abdul Ghani / Foto : Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Hamzah Mohidin)

Attachments