Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TERAPKAN NILAI AGAMA DALAM INTEGRASI TEKNOLOGI

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 11 November. - Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar menyatakan bahawa masyarakat secara umum telah memahami dan bercakap tentang Internet of Things, Data Analytic, Massive Open Online Courses (MOOC), virtual university dan lain-lain lagi.

Daripada itu, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom menjelaskan, setentunya tidak dapat tidak dan kita akui mengenai kepentingan integrasi teknologi dalam dunia pendidikan, namun begitu komponen yang perlu dititikberatkan dalam integrasi teknologi tersebut adalah bagaimana untuk kita memastikan dan mengadunkan elemen-elemen nilai murni agama dan sejagat untuk diterapkan dan dipupuk secara komprehensif dalam sistem pendidikan ke arah pembentukan insan holistik.

Berucap semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru 2019 (The International Conference on Teachers Education in 2019), Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama juga melihat usaha KUPU SB dalam menganjurkan persidangan seperti itu adalah sangat signifikan terutama dalam menghadapi pelbagai kemajuan dan pembaharuan era digital pada masa ini.

Pada majlis yang berlangsung di Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) itu, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka juga menekankan, keiltizaman Kerajaan Negara Brunei Darussalam dalam usaha memartabatkan pendidikan sangat terserlah khususnya melalui peningkatan kualiti pengajian dan pendidikan, kedaulatan perlembagaan dan perundangan Islam serta kesungguhan institusi pengurusan dan pentadbiran pendidikan dan agama Islam dalam memberi kefahaman ilmu serta menegakkan syiar Islam di seluruh negara.

''Persidangan ini merupakan salah satu platform untuk mendukung dan membarigakan lagi kepentingan memahami falsafah pendidikan dan pelaksanaannya dalam Era Revolusi Industri 4.0 ini.

''Pemahaman tentang falsafah, visi dan misi dalam konteks pendidikan dan perguruan menjadi penyumbang utama kepada pembangunan sesebuah negara. Ia juga dapat melestarikan ketamadunan keilmuan sesebuah negara dengan mengambil kira kepentingan aspek mental dan fizikal serta aspek rohani dan spiritual,'' katanya.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama seterusnya menambah, Negara Brunei Darussalam sebagai negara yang berdaulat dengan pegangan falsafah Melayu Islam Beraja untuk sekian lama, terus kukuh berdiri tegak dan istiqamah dalam memartabatkan pendidikan sama ada di peringkat rendah, menengah, kolej dan universiti awam tempatan.


TIMBALAN Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar berucap semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pendidikan Guru 2019.

Kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama dalam bidang pendidikan ini sentiasa berusaha meningkatkan kaedah penyampaian ilmu, kemahiran dan sahsiah serta jati diri pelajar supaya sentiasa relevan dengan arus perubahan dunia.

Wacana dan diskusi ilmiah berkaitan falsafah dan profesionalisme perguruan tambahnya, memainkan peranan penting dalam menyumbang dan membangunkan negara dan modal insan lebih-lebih lagi dalam sama-sama mendukung hasrat Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 (SPN21) dan ke arah mencapai Wawasan Negara 2035. Justeru, Persidangan ICOTE 2019 ini boleh menjadi wadah ke arah meningkatkan profesion perguruan dalam membentuk masyarakat dan pembangunan negara.

Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama yakin persidangan itu akan terus memantapkan lagi pemahaman dan pelaksanaan epistemologi ilmu dalam kerangka pendidikan dan perguruan di samping membahaskan pendekatan dan pedagogi yang berkesan dalam pengajaran dan pembelajaran.

Dalam masa yang sama, penganjuran persidangan tersebut juga diharap dapat mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam menstrukturkan kurikulum dan pendidikan keguruan yang lebih komprehensif dan relevan dengan Revolusi Industri 4.0 menerusi pembentangan hasil-hasil kajian ahli akademik dan penyelidik dari pelbagai negara.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 13 November 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi )

Attachments