Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAHASISWA KUPU SB PELAJARI MENAPIH SINJANG, MENAMBAT DASTAR

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 7 September – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar baru-baru ini mengadakan Bengkel Pendidikan Kebudayaan Melayu Islam Beraja (MIB) dengan aktiviti utama menapih sinjang dan menambat dastar.

Lebih daripada 100 mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama KUPU SB menghadiri bengkel yang diadakan di Dewan Taribyah, KUPU SB, di sini.

Bengkel dimudah cara oleh fasilitator undangan, Awang Haji Mohammad bin Haji Tuah yang memberikan tunjuk cara menapih sinjang dan menambat dastar dengan betul, seterusnya menghakimi Pertandingan Penapih Sinjang dan Penambat Dastar Terbaik dalam kalangan mahasiswa.


AWANG Haji Mohammad bin Haji Tuah (kanan) selaku Fasilitator Undangan memberikan tunjuk cara menapih sinjang dan menambat dastar dengan betul pada Bengkel Pendidikan Kebudayaan Melayu Islam Beraja (MIB) yang diadakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Objektif utama bengkel, antara lain untuk memperkenalkan budaya Melayu yang pelbagai, khususnya dalam menambat dastard an menapih sinjang juga menggalakkan penyertaan praktikal dan meningkatkan kreativiti mahasiswa.

Selain itu, bengkel juga dihasratkan untuk memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para mahasiswa, khususnya tentang pelbagai jenis dan bentuk dastar juga sinjang Brunei dan cara pemakaian yang betul.

Dengan adanya bengkel seumpama itu diharap akan dapat membantu memelihara dan mengembangkan budaya juga memberikan kefahaman dan kesedaran juga menanamkan rasa cinta dalam kalangan para belia terhadap warisan budaya supaya ia akan tetap terpelihara dan terus menjadi amalan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 9 September 2019)


Attachments