Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

DUA MAHASISWA KUPU SB SERTAI ASTEN STEP

BANDAR SERI BEGAWAN, Ahad, 16 Jun. - Dua mahasiswa Program Sarjana Muda Perguruan Ugama terpilih bagi mengikuti Program Pertukaran Mengajar pelajar AsTEN (AsTEN Step) selama sebulan iaitu bermula pada 17 Jun hingga 12 Julai 2019 bertempat di Philippine Normal University (PNU), Manila, Filipina.

Program tersebut merupakan aktiviti tahunan anjuran Association of Southeast Asian Teachers Education Network (AsTEN) yang mana Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) merupakan ahli secara aktif sejak tahun 2016.

Mahasiswa yang terpilih ialah pelajar Program Sarjana Muda Perguruan Ugama Tahun 2, Awang Adiib bin Haji Suliman dan Mohammad Khairul Anwaar bin Rudyratno.


PEMANGKU Dekan Fakulti Pendidikan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Kharhan bin Haji Jait (kiri) dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman (kanan) hadir mengucapkan selamat belayar kepada dua mahasiswa yang terpilih bagi mengikuti Program Pertukaran Mengajar pelajar AsTEN (AsTEN Step).


Hadir bagi mengucapkan selamat belayar ialah Pemangku Dekan Fakulti Pendidikan KUPU SB, Awang Kharhan bin Haji Jait dan Pengarah Pejabat Antarabangsa dan Perhubungan Awam KUPU SB, Pengiran Siti Katijah binti Pengiran Sulaiman.

Antara objektif program tersebut ialah bagi membantu memantapkan lagi kemahiran pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dengan pendedahan kepada kaedah dan teknik pengajaran terkini yang diamalkan di institusi-institusi perguruan luar negeri.

Dalam masa sebulan program, pelajar-pelajar akan diberi peluang untuk melaksanakan penyeliaan di beberapa buah sekolah di Manila dan seterusnya, menjalankan sesi pengajaran yang akan dinilai oleh beberapa pakar pendidikan PNU.

Program pertukaran mengajar pelajar ini merupakan pertama kali disertai oleh KUPU SB sejak penyertaan KUPU SB sebagai ahli persatuan AsTEN pada tahun 2016.

AsTEN merupakan rangkaian institusi Pendidikan Guru negara-negara ASEAN di mana ahli-ahlinya komited menggerakkan usaha dalam menangani isu, cabaran dan kebimbangan berkaitan dengan program, amalan dan dasar pendidikan guru di rantau ASEAN.


(Petikan dari Pelita Brunei, 17 Jun 2019 oleh Kolej Universiti Perguruan Ugama  Seri Begawan)


Attachments