Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PESERTA BENGKEL LUGHATUL MU'ALLIM TERIMA SIJIL

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Mei. - Seramai 19 peserta bengkel yang terdiri daripada guru-guru Sekolah Arab menerima sijil tamat kursus pembelajaran bahasa Arab dalam Bengkel Lughatul Mu'allim yang dianjurkan oleh Pusat Bahasa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) bertempat di Dewan Ta'lim, kolej berkenaan.

Bengkel Lughatul Mu'allim dijalankan bermula pada 20 Februari dan berakhir 1 Mei 2019.

Hadir selaku tetamu kehormat menyampaikan sijil-sijil kepada para peserta bengkel ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Mohd. Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.

Bengkel Lughatul Mu'allim adalah sebuah program yang diperkenalkan khusus bagi guru-guru yang mengajar mata pelajaran bahasa Arab di bawah Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama. Ia mula diadakan buat kali pertama pada tahun 2017, iaitu bagi seramai 20 pegawai dan guru-guru sekolah Arab pada setiap sesi bengkel yang diadakan selama 10 minggu.


KETUA Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Negara Brunei Darussalam, Pengiran Mohd. Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin (kiri) menyampaikan sijil kepada para peserta Bengkel Lughatul Mu'allim

Program ini merupakan usaha KUPU SB sebagai institusi perguruan dalam meningkatkan kemampuan para guru dalam menguasai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab agar dapat diperbaiki dan dikemas kini di sekolah masing-masing.

Antara objektif bengkel tersebut dianjurkan ialah bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Keenam 2016 agar mempertingkatkan kualiti penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar.

Selain itu, ia juga bagi memastikan para guru dapat menguasai empat kemahiran asas dalam bidang bahasa Arab, iaitu Istima', Qira'ah, Kitabah dan Kalam. Selanjutnya, bengkel ini juga diharapkan dapat memberikan pendedahan kepada para guru pedagogi pengajaran bahasa Arab yang terkini dan lebih efektif, selain menyediakan peluang bagi pertukaran pengalaman mengenai isu-isu yang dihadapi dalam proses pengajaran dan pembelajaran dan seterusnya mencari mekanisma terbaik ke arah penyelesaian dan pembaikan yang berkesan.

Majlis turut dihadiri oleh Pemangku Timbalan Ra'es, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, Pemangku Penolong Ra'es, Datin Dr. Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kaseh, pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah dan mahasiswa serta mahasiswi KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Mei 2019 oleh Aimi Sani)


Attachments