Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

CONTOHI WANITA HEBAT ZAMAN DAHULU

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 10 April. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Fakulti Syariah dengan kerjasama Pusat Kajian Fiqh al-Usrah menganjurkan Forum Pendidikan Syariah al-Mar'ah yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, di sini.  

Forum bertemakan 'Mengoptimakan Peranan dan Produktiviti Wanita dalam Pembangunan Negara dan Bangsa' itu adalah bersempena Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35.

Hadir selaku tetamu kehormat, Setiausaha Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil.

Tiga panel forum membahaskan tentang hukum-hukum yang berkaitan dengan wanita dari aspek hukum beribadah dan sumbangan terhadap negara dan bangsa yang dipengerusikan oleh Penolong Pensyarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Awang Nazirul Mubin bin Haji Ahad.


SETIAUSAHA Tetap, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil (tiga, kiri) hadir selaku tetamu kehormat pada Forum Pendidikan Syariah al-Mar'ah.

Timbalan Dekan Fakulti Syariah, KUPU SB, Pengiran Dr. Hajah Norwidayawati binti Pengiran Haji Metusin menjelaskan, ciri-ciri yang perlu ada pada seorang wanita Muslimah dalam membangunkan masyarakat dan negara adalah melalui 3K sesuai dengan tiga peradaban Islam, iaitu Keimanan, Keilmuan dan Ketaqwaan.

Kertas kerja bertajuk 'Hukum-Hukum Yang Berkaitan Dengan Wanita', Pengiran Dr. Hajah Norwidayawati seterusnya menerangkan melalui 3K itu, bertepatan dengan berilmu, beramal dan bertawakal, para wanita perlu mempersiapkan diri dengan ilmu-ilmu ugama (ukhrawi) sebagai asas dalam kehidupan mereka, di samping ilmu duniawi.

Manakala Dekan Fakulti Pendidikan, KUPU SB, Profesor Madya Dr. Mohd. Zahiri bin Awang Mat, kemudiannya mengulas mengenai pemantapan pendidikan dalam kalangan wanita.


PANEL-PANEL bagi Forum Pendidikan Syariah al-Mar'ah yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB

Profesor Madya Dr. Mohd. Zahiri juga menerangkan mengenai peranan isteri Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, iaitu Aisyah Radiallahuanha yang mesti diteladani wanita hari ini untuk berjaya, antaranya membantu kaum lelaki dalam memahami ilmu, menjadi contoh amalan ajaran agama kepada yang lain (wanita solehah), memperjuangkan hak wanita, mengadakan Pusat Pembelajaran / tempat rujukan para sahabat serta mendidik wanita supaya tahan ujian dan cabaran.

Sementara panel terakhir, Pemangku Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Wanita, Kanak-Kanak dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Dayang Nurul Nazurah binti Jaya membincangkan mengenai kes-kes wanita di bawah JAPEM dan inisiatif memperkasa wanita melalui program-program perkerjaan dan perniagaan.

Dayang Nurul Nazurah juga menyatakan kes-kes wanita yang ditangani JAPEM adalah seperti penderaan isteri / wanita, pertelingkahan suami isteri, pelbagai aduan wanita dan juga permohonan Dharar Syar'ie.

Katanya, JAPEM bekerjasama dengan agensi-agensi antaranya Pasukan Polis Diraja Brunei, Kebajikan Hospital dan Mahkamah Syariah / Sivil bagi tujuan melancarkan kes (untuk tujuan perlindungan / mendapatkan bukti iaitu laporan perubatan atau aduan polis seterusnya bukti-bukti tersebut akan dihadapkan bersama borang permohonan perlindungan di mahkamah).

Terdahulu, Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Hajah Aisyah Radhiah binti Haji Gani selaku Pengerusi Bersama forum dalam ucapan alu-aluannya, para wanita hari ini perlu menjadikan ciri-ciri wanita hebat pada zaman dahulu sebagai panduan dan teladan dalam aspek kehidupan mereka.

Wanita juga menyumbang ke arah perkembangan negara dan bangsa menurut kebolehan dan kepakaran masing-masing selain memainkan peranan penting dalam menjana ekonomi dan pembentukan keluarga bahagia.

Forum tersebut diharap menjadi wadah perbincangan mengenai saranan isu-isu semasa yang berkaitan dengan pemantapan pendidikan wanita bagi mencapai Wawasan Brunei 2035.

Turut hadir, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dan Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha. 


(Petikan dari Pelita Brunei, 13 April 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments