Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PUPUK SEMANGAT PATRIOTISME MELALUI KESENIAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 25 Mac. - Kesenian dilihat sebagai salah satu ciptaan manusia dan memiliki ekspresi penciptanya dan segala bentuk hiasan dan kadangkala mengambil kira fungsinya, antaranya seperti seni khat, seni ukir, seni bina, seni tembikar, seni lakonan, seni muzik, seni mempertahankan diri dan sebagainya.

Sementara budaya, secara umumnya pula diertikan sebagai keseluruhan cara hidup sesuatu masyarakat yang dapat mencerminkan keperibadian bangsa.

Negara Brunei Darussalam merupakan sebuah negara Islam yang mempunyai bukti-bukti yang nyata akan wujudnya kebudayaan Melayu Brunei yang bertapak kukuh di bumi ini sejak berkurun-kurun lamanya. Kesultanan, adat istiadat, adat resam, kehidupan beragama dan berbahasa Melayu merupakan sebahagian manifestasi warisan budaya yang masih ada dan utuh bertahan hingga sekarang.

Sehubungan itu, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Persatuan Pelajar, Majlis Perwakilan Pelajar KUPU SB mengadakan Majlis Kesenian dan Kebudayaan Islam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 di Dewan Tarbiyah KUPU SB, di sini.

Hadir pada majlis tersebut, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Juga hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani bin Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Awang Haji Abdul Rahim, Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Dr. Hajah Norlila binti Dato Paduka Haji Abdul Jalil dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU, Awang Haji Mohd. Serudin bin Haji Timbang.


MENTERI Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin hadir pada Majlis Kesenian dan Kebudayaan Islam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 dan berkesempatan mempersembahkan pantun empat kerat yang berunsurkan nasihat.

Yang Di-Pertua Pelajar, Persatuan Pelajar KUPU SB Sesi 2018 / 2019, Awang Abdul Nassir Saufi bin Hassan dalam ucapan alu-aluannya antara lain menyatakan, KUPU SB sendiri sangat menekankan kesenian dan kebudayaan Islam ini dengan pemakaian 'Cara Melayu' dan 'Baju Kurung' sebagai pakaian rasmi dan juga tulisan Jawi sebagai tulisan utama.

Agama Islam jelasnya, merupakan akar dan paksi dalam falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) sebagai falsafah negara, sekali gus menjadi 'nadi denyut' dalam kehidupan kesenian dan kebudayaan Negara Brunei Darussalam dan institusi Islam adalah nadi penggerak kepada kekuatan dan kesinambungan fahaman dan amalan kehidupan berfalsafah MIB.

''Amatlah wajar kita berpegang teguh kepada hasrat dan cita-cita untuk menjadi sebuah negara yang aman makmur dipenuhi dengan masyarakat yang bersatu padu dan berusaha ke arah memelihara keamanan, meningkatkan taraf hidup rakyat dan kemakmuran negara, serta menegakkan syiar dan memuliakan Islam sebagai agama rasmi negara,'' tegasnya.

 ANTARA persembahan yang menyerikan Majlis Kesenian dan Kebudayaan Islam bersempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 di Dewan Tarbiyah KUPU SB.

Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Menteri juga berkesempatan mempersembahkan pantun empat kerat yang berunsurkan nasihat, diikuti Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Putera Maharaja Dato Paduka Awang Haji Abdul Ghani; Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar serta para hadirin.

Dr. Haji Adanan juga menunjukkan bakatnya dengan mempersembahkan satu demonstrasi kaligrafi.

Selain itu, beberapa persembahan kesenian dan kebudayaan lain turut dipersembahkan termasuk Deklamasi Sajak, Hadrah, Seni Bela Diri (Silat), Syair Al-Marhum, Seni Memanah dan Pentomen daripada jemputanjemputan khas dan mahasiswamahasiswi KUPU SB.

Rasional majlis diadakan, antara lain bagi merealisasikan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjayakan Wawasan Brunei 2035 dengan tidak meninggalkan kesenian dan budaya kita serta tidak bertentangan dengan syariat Islam.

Selain itu, majlis tersebut diharap dapat meningkat semangat patriotisme belia-belia dengan terus memberi sumbangan kepada raja, negara, bangsa dan agama melalui kesenian dan kebudayaan yang sesuai dengan falsafah MIB.


(Petikan dari Pelita Brunei, 27 Mac 2019 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi)

Attachments