Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KIBAR BENDERA KEBANGSAAN RAIKAN HARI KEBANGSAAN KE-35

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 16 Februari. - Dalam meraikan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) juga turut sama mengadakan Majlis menaikkan Bendera Kebangsaan berlangsung di hadapan Bangunan Pentadbiran KUPU SB, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat bagi sama menyemarakkan semangat patriotisme pada majlis tersebut ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar.

Turut hadir Pemangku Timbalan Ra'es, Dr. Datin Hajah Noor Hira binti Haji Noor Kasih; Pemangku Penolong Ra'es; pegawai-pegawai utama; para Dekan dan Pengarah; Timbalan-timbalan Dekan; pegawai-pegawai dan kakitangan, para pensyarah serta mahasiswa dan mahasiswi KUPU SB.


RA'ES Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Haji Adanan bin Haji Basar menyerahkan Bendera Negara Brunei Darussalam kepada Pasukan Kadet Tentera KUPU SB

Majlis bermula dengan bacaan Asma'ul Husna dan surah Al-Fatihah dipimpin oleh ketua Exco Keugamaan dan Takmir Surau 2018 / 2019, Awang Afifi Abdul Wafi bin Dr. Haji Adanan diikuti dengan penyerahan bendera besar Negara Brunei Darussalam yang disempurnakan oleh Ra'es KUPU SB dan seterusnya upacara menaikkan bendera sambil nyanyian Lagu Kebangsaan ''Allah peliharakan Sultan''.

Selepas itu, laungan 'Allahu Akhbar' sebanyak tiga kali dilaungkan oleh Ra'es KUPU SB.

Penolong 1 Exco Keugamaan dan Takmir Surau 2018 / 2019, Awang Muhammad Hadi Wa'ie bin Mohammad mengepalai bacaan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.

MAJLIS menaikkan Bendera Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di hadapan Bangunan Pentadbiran KUPU SB.

Majlis itu juga menyaksikan upacara perbarisan lalu terdiri daripada pembawa bendera besar, Majlis Perwakilan Pelajar, Pasukan beruniform, iaitu Pasukan pandu Puteri KUPU SB; Pasukan Pengakap KUPU SB; Pasukan Kadet Bomba dan Penyelamat KUPU SB; Pasukan Kawalan Keselamatan KUPU SB; Pasukan Kadet Tentera KUPU SB dan siswa dan siswi Tahun 1 KUPU SB.

Upacara yang diungkayahkan oleh Exco Beruniform dan Logistik, Majlis Perwakilan Pelajar, Persatuan Pelajar sesi 2018 / 2019 tersebut antara lain bertujuan untuk menyemarakkan Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam Ke-35, Tahun 2019 dan menanamkan semangat patriotik dan rasa cinta terhadap tanah air serta mengukuhkan falsafah Melayu Islam Beraja dalam kalangan pelajar-pelajar dan seluruh warga KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 18 Februari 2019)

Attachments