Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MAHASISWA, MAHASISWI DILATIH TEROKAI DUNIA PERTANIAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 4 Februari. - Program pengembangan potensi diri dalam kokurikulum di bawah pengendalian Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) merupakan satu program untuk melahirkan modal insan yang berjati diri Melayu Islam Beraja, mempunyai pelbagai kemahiran secara holistik, berdaya saing, berfikiran kreatif, inovatif dan proaktif.

Selain daripada itu, ia akan membantu pelajar dalam menjana ekonomi dengan memupuk budaya keusahawanan.

Sehubungan itu, bagi mencapai matlamat program tersebut, satu projek lawatan pertanian telah diadakan di Daerah Temburong selama dua hari, iaitu bermula 1 hingga 2 Februari 2019 dan disertai oleh seramai 62 mahasiswa dan mahasiswi dari Nadi Pertanian dan Nadi Fotografi & Multimedia, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.

Juga menyertai rombongan, Penolong Pensyarah Pusat Ilmu Teras selaku Penyelia Nadi Fotografi & Multimedia, Awang Haji Mohammad Shahrul Azmi bin Haji Abdul Muluk dan Penolong Pendaftar selaku Penyelia Nadi Pertanian, Ustazah Amshahnoorwadi binti Haji Yakub.

SELAIN mengadakan praktikal pertanian, rombongan KUPU SB juga mengadakan aktiviti khairat kemasyarakatan membersihkan Masjid Kampung Selangan.

Beberapa aktiviti dilaksanakan sepanjang lawatan diadakan seperti praktikal penanaman padi, mengatam / menuai padi, menjemur padi dan lawatan penternakan itik serta telur masin.

Selain itu rombongan juga melaksanakan khairat kemasyarakatan, iaitu membersihkan Masjid Kampung Selangan, pengembangan intelektual (tazkirah) dan mendengarkan bacaan Surah Al-Fatihah bagi warga mualaf di Masjid Kampung Sibut dan riadah ke Bukit Patoi.

Lawatan seumpama ini merupakan satu langkah untuk menggalakkan dan meningkatkan kemahiran mahasiswa / mahasiswi dalam bidang keusahawanan pertanian, sejajar dengan hasrat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam supaya meningkatkan usaha dalam sektor pertanian yang akan mendatangkan hasil mengikut keperluan negara dan juga membantu mengatasi masalah pengangguran.


PROJEK lawatan pertanian mahasiswa / mahasiswi dari Nadi Pertanian dan Nadi Fotografi & Multimedia, KUPU SB merupakan langkah menggalakkan dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang pertanian

Dengan adanya projek lawatan seumpama ini diharap akan dapat meningkatkan motivasi dan semangat dalam kalangan mahasiswa / mahasiswi tentang sektor ekonomi dengan mengadakan satu projek pertanian untuk melatih mahasiswa/ mahasiswi dengan meneroka dunia pertanian secara sampingan.

Selain itu, pelaksanaan projek pertanian tersebut juga diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi mewujudkan generasi usahawan pertanian pada masa akan datang, kerana ia melibatkan input nilai-nilai keusahawanan agar mereka lebih berdaya saing, kompetitif dan bersedia memenuhi tanggungjawab.


Attachments