Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

KUPU SB ADAKAN PROGRAM KHAIRAT KEMANUSIAAN, LOMBOK

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 31 Disember. - Untuk memberi galakan kepada para mahasiswa, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras buat julung kalinya mengadakan Program Khairat Kemanusiaan di luar negara, iaitu di Lombok, Indonesia.

Program Khairat Kemanusiaan adalah komponen praktikal tanggungjawab sosial yang memerlukan penglibatan para mahasiswa secara berkumpulan dalam aktiviti di dalam kampus dan komuniti.

Pengarah Pusat Ilmu Teras, KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar juga selaku ketua rombongan menyatakan demikian ketika ditemu bual di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke Lombok melalui Jakarta, Indonesia, di sini.

Menyentuh mengenai program tersebut, beliau menjelaskan, ia adalah sebagai satu galakan bagi para mahasiswa untuk meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat, khususnya Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tentang tanggungjawab sosial dalam memeduli golongan yang kurang bernasib baik.


PENGARAH Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar juga selaku ketua rombongan bergambar ramai bersama kumpulan tersebut

''Projek ini juga adalah di bawah Program Kokurikulum Khidmat Masyarakat, yang mana program ini bertujuan untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang mempunyai tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara,'' ujarnya.

Menurutnya lagi, penglibatan warga KUPU SB dalam menjalankan aktiviti amal ini diharapkan sebagai wadah kerjasama dan perpaduan yang perlu dikembang-suburkan agar ia menjadi satu budaya yang diberkati Allah.

Keprihatinan yang mendalam terhadap golongan yang kurang bernasib baik, terutama penduduk Lombok, Indonesia tambahnya, mendorong kita untuk meningkatkan kesedaran pemedulian sebagaimana yang dianjurkan oleh Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Program Khairat Kemanusiaan tersebut diadakan bermula 1 hingga 8 Januari 2019, disertai oleh 17 mahasiswa, dua pensyarah dan dua pengawas peserta.

Sepanjang program tersebut, beberapa pengisian aktiviti diadakan bersama dengan penduduk dari beberapa desa di Lombok, termasuk pengagihan bantuan Makanan Asas (Sembako) sebanyak 400 lebih orang penerima, aktiviti tazkirah, terapi sukan, khidmat masyarakat membaiki dan membersihkan sekolah, rumah, pasentren serta masjid, aktiviti bercucuk tanam bersama penduduk kampung, aktiviti menyembelih binatang (ayam, kambing dan sapi) untuk penyediaan dan pengagihan makanan penduduk desa dan mengagihkan bantuan kewangan juga pakaian.

Hadir bagi mengucapkan selamat belayar kepada rombongan ialah Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, Pemangku Pengarah Pentadbiran di Kementerian Hal Ehwal Ugama, Awang Md. Sopian bin Haji Basri juga pegawai-pegawai dan kakitangan KUPU SB.

 

(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 2 Januari 2019 oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad  dan Foto oleh Mohd. Sahrizal Haji Said)



Attachments