Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KONFERENSI ANTARABANGSA PENDIDIKAN KEUSAHAWANAN DAN KEWANGAN ISLAM 2018, KUPU SB DIRASMIKAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 13 November. - Keusahawanan dan Kewangan Islam adalah dua bidang terpenting dalam ekonomi Islam dalam konteks menjana ekonomi umat Islam.

Kepentingan keusahawanan tidak dapat disangkalkan lagi, di Negara Brunei Darussalam kerajaan amat giat berusaha dalam memupuk budaya keusahawanan, khususnya dalam kalangan belia.

Manakala sistem kewangan Islam pula kini sedang giat berkembang dalam pelaksanaan dan pengamalannya di Negara Brunei Darussalam.

Dalam persekitaran yang penuh dengan cabaran ini, inovasi pendidikan amat diperlukan untuk melahirkan generasi pelajar yang berfikiran inovatif dan kompetitif.

Membudayakan inovasi adalah satu daripada agenda berterusan dalam mencapai kecemerlangan dan dapat bersaing.

Ini tidak terkecuali dalam pendidikan dalam bidang keusahawanan dan kewangan Islam. Inovasi merupakan suatu idea, amalan atau objek yang dianggap baharu dan lebih baik.

Inovasi dihasilkan oleh manusia kreatif yang dapat membina trend baharu dan menggunakan peluang maksimum walaupun dalam ekosistem yang banyak persaingan.

Menyedari akan peri mustahaknya inovasi pendidikan itu, pada tahun ini, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) melalui Pusat Ilmu Teras bersama dengan Fakulti Syariah menganjurkan Konferensi Antarabangsa Pendidikan Keusahawanan dan Kewangan Islam 2018 selama dua hari bermula hari ini dan esok.

Sehubungan itu, Majlis Perasmian Konferensi diadakan di Dewan Tarbiyah, kolej berkenaan, di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat, Menteri Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan diteruskan dengan bacaan Al-Asma Al-Husna diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan 'Allah Peliharakan Sultan' beramai-ramai.

Dalam ucapan alu-aluan oleh Pengarah Pusat Ilmu Teras selaku Pengerusi Bersama konferensi, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakhbar antara lain menyatakan secara rasional, konferensi merupakan satu wadah perbincangan ilmiah di antara cendekiawan Islam, pemikir Islam, penyelidik Islam, pembuat dasar, pakar, pengamal yang aktif, ahli akademik dan pelajar pasca siswazah dalam dan luar negara yang berkaitan dengan keusahawanan dan kewangan Islam.


MENTERI Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ali bin Haji Apong hadir pada Majlis Perasmian Konferensi Antarabangsa Pendidikan Keusahawanan dan Kewangan Islam 2018 anjuran Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan melalui Pusat Ilmu Teras bersama dengan Fakulti Syariah

Menurutnya, konferensi itu juga dijadikan sebagai platform yang baik dengan pemilihan tema yang sesuai bagi merangsang perbincangan yang penting mengenai cara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dapat memandu inovasi dalam pendidikan keusahawanan dan kewangan Islam.

Seterusnya majlis konferensi dirasmikan oleh tetamu kehormat dan diikuti dengan pembentangan Kertas Perdana I oleh Ketua Dewan Profesor, Universitas Islam Negeri Alauddin, Makassar, Indonesia, Yang Berbahagia Profesor Dr. H. Azhar Arsyad MA, bertajuk 'Inovasi Pendidikan Keusahawanan Islam di kalangan Generasi Muda bagi Mewujudkan Modal Ummah yang Mampu Membangunkan Ekonomi Negara : Peranan Institusi Pengajian Tinggi'.

Majlis perasmian diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada pembentang Kertas Perdana I dan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat.

Sesi pembentangan seterusnya membentangkan sebanyak enam kertas kerja pertama dan kedua yang diadakan di Dewan Tarbiyah dan Dewan Ta'lim selepas majlis perasmian.

Sebanyak 25 kertas kerja termasuk kertas perdana, kertas utama dan kertas kerja dibentangkan sepanjang dua hari konferensi diadakan.

Antara objektif konferensi diadakan ialah bagi memperkasa pendidikan bidang keusahawanan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, negara dan global.

Melalui konferensi itu, idea yang bernas mengenai inovasi dalam pendidikan keusahawanan dan kewangan Islam yang difikirkan dapat dilaksanakan untuk dikendalikan dibentangkan supaya mampu menjadikan IPT sebagai pusat pembelajaran sepanjang hayat.

Seterusnya, boleh mengenal pasti isu-isu yang berkaitan pendidikan keusahawanan dan kewangan Islam secara teori dan praktikal dan mengemukakan solusi terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pendidikan keusahawanan dan kewangan Islam.

Selain itu, dalam konferensi tersebut juga akan dibentangkan pendekatan pedagogi yang unik dan teknik pengajaran terkini bagi menyalurkan ilmu dan kemahiran dalam bidang keusahawanan dan kewangan Islam, seterusnya membincangkan hasil-hasil penyelidikan dan kajian yang berhubung kait dengan pendidikan keusahawanan dan kewangan Islam.

Seramai 330 peserta terdiri daripada mahasiswa dari IPT, iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Sultan Sharif Ali, Universiti Teknologi Brunei, KUPU SB dan IBTE; guru-guru dari Kementerian Pendidikan; para pegawai dari Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Pengajian Islam, Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), CIBFM, Bank Islam Brueni Darussalam (BIBD), Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB), Bank Usahawan, Darussalam Enterprise (DARe) dan orang awam.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Pengiran Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd. Ishak; Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) KSSUP, Awang Wardi bin Haji Mohammad Ali; Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar; Pemangku Timbalan Ra'es KUPU SB, Dr. Abang Haji Hadzmin bin Abang Haji Taha, para pegawai utama, pensyarah, kakitangan dan mahasiswa mahasiswi KUPU SB.

Pada sesi pembentangan sebelah petang, pembentangan Kertas Kerja Utama I dibentangkan oleh Timbalan Dekan Institute Islamic Banking and Finance (IIBF) Islamic International University Malaysia (IIUM), Yang Berbahgia Prof. Madya Dr. Azman bin Mohd. Noor dengan tajuk 'Peranan Institusi Kewangan Islam dalam Pemerkasaan Pendidikan Keusahawanan'.

Selain itu, sebanyak enam kertas kerja turut dibentangkan di tempat berasingan, iaitu di Dewan Tarbiyah dan Dewan Ta'lim.

(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 14 November oleh Dk. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto Mohd. Sahrizal Haji Said)


Attachments