Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KUPU SB METERAI TUJUH MOU

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat buah universiti dan tiga institusi pengajian tinggi yang meliputi pertukaran pelajar dan kakitangan, pertukaran penerbitan, program kerjasama penyelidikan dan pengajaran serta kerjasama dalam mana-mana bidang-bidang yang bermanfaat kepada dua belah pihak.

Penandatanganan MoU itu adalah di antara KUPU SB dengan Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia; Universiti Teknologi Mara, Malaysia; Kolej Dar al-Hikmah, Malaysia; Universitas Widya Gama Mahakam, Indonesia; Universiti Islam Malang, Indonesia; Institut Agama Islam Al-Falah Asunniyyah (Inaifas), Indonesia dan Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH).

Majlis berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas itu diselajurkan dengan Majlis Makan Malam sempena Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-8 2018.


MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman (tengah) semasa menyaksikan pertukaran dokumen pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan Universiti Tun Hussein Onn, Malaysia.

 

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Hal Ehwal Ugama,  Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan Datin.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran, surah Ar-Rahman ayat 1 hingga 9 dan surah Al-'Alaq 1 hingga 5 beramai-ramai.

Menandatangani perjanjian bagi pihak KUPU SB adalah Ra'es KUPU SB,   Dr. Haji Adanan bin Haji Basar, disaksikan oleh Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama manakala menandatangani bagi universiti-universiti luar berkenaan ialah Naib Canselor, rektor atau perwakilan Universiti luar.

Penandatangan tersebut merupakan salah satu bentuk respon bagi meningkatkan lagi kerjasama dan perkongsian pengalaman terbaik antara KUPU SB dengan Institusi Pengajian Tinggi serantau.

Majlis diteruskan dengan penyampaian hadiah-hadiah buku kepada pelajar-pelajar cemerlang dalam pengajian bagi semester kedua sesi 2017/2018.

Majlis tersebut diadakan bagi meningkatkan rasa syukur dan tawadu' para graduan atas kejayaan mereka menamatkan pengajian di KUPU SB dan seterusnya mengalakkan graduan dan pelajar supaya berterima kasih dan menghargai staf akademik dan staf pengurusan KUPU SB atas sumbangan khidmat yang diberikan semasa pengajian mereka di KUPU SB.

Penyampaian hadiah-hadiah kepada 20 orang penerima Anugerah Akademik KUPU SB mengikut program dan bidang sesi pengajian 2017/2018 disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Ugama.

Seramai 233 graduan yang diraikan iaitu tiga graduan dari program Sarjana Perguruan Ugama (Kurikulum), 13 graduan dari program Sarjana Perguruan Ugama (Pendidikan Islam), dua graduan dari program Sarjana Perguruan Ugama (Pengurusan dan Pentadbiran), satu graduan dari program Sarjana Perguruan Ugama (Penyeliaan), lima graduan dari program Sarjana Perguruan Ugama (Sastera Islam), 19 graduan dari program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah, tiga graduan dari program Diploma Perguruan Ugama Lepasan Ijazah (Pengajaran Bahasa Arab), 35 graduan dari program Sarjana Muda Perguruan Ugama Aliran Usuluddin, 75 graduan dari program Sarjana Muda Perguruan Ugama Aliran Syariah, 12 graduan dari program Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Aliran Usuluddin dan 65 graduan dari program Sarjana Diploma Tertinggi Perguruan Ugama Aliran Syariah.

Turut hadir ialah  Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar dan Datin; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dato Seri Setia Awang Haji Abd Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Isteri, Ahli-ahli Majlis KUPU SB, jemputan-jemputan khas, pegawai-pegawai utama, pensyarah-pensyarah KUPU SB, graduan yang diraikan serta mahasiswi dan mahasiswa KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Rabu 7 November 2018 oleh Rohani Hj Abdul Hamid)

Attachments