Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

Manage PermissionsManage Permissions
|
Version HistoryVersion History

KUKUHKAN JATI DIRI PELAJAR KEMAHIRAN INTERAKSI BERFIKIR

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 5 November. - Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) menawarkan Kursus Kemahiran Berfikir dan Komunikasi Islamik sebagai kursus teras universiti.

Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar dalam sembah alu-aluannya menyembahkan, inisiatif KUPU SB itu adalah bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada konvokesyen ketujuh yang lepas mengenai perlunya KUPU SB dan Institusi Pengajian Tinggi yang lain menyediakan pengalaman-pengalaman berfikir yang kritis.


SEMBAH alu-aluan disampaikan oleh Ra'es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar

Dalam kursus itu, sembah Dr. Haji Adanan, formula berfikir kritis dibina berasaskan disiplin-disiplin ilmu usul fiqh, Qaw'ed Al-Fiqhiah, Siasah Syar'iah dan Maqasid Syar'iayah sementara pengalaman komunikasi pula dibina dari Adab-adab Hiwar (perbahasan) menurut Al-Quran dan Hadith, Hikmah Para Ulama dan Adab-adab Melayu Islam Beraja (MIB).

Tambahnya, dalam konteks yang sama, KUPU SB juga telah menawarkan kursus teras universiti iaitu Peradaban dan Tamadun Islam yang matlamatnya adalah untuk mengukuhkan jati diri pelajar dengan kemahiran interaksi berfikir antara pencapaian peradaban Islam dengan realiti praktis membangun peradaban semasa.

"Berkaitan dengan kaedah penilaian kompetensi pelajar sebagaimana yang disentuh dalam titah berkenaan, sukacita juga menyembahkan bahawa KUPU SB melalui Pusat Ilmu Teras telah bertindak membina sistem penilaian yang dapat mengukur partisipasi, komitmen dan prestasi pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dianjurkan," jelasnya pada Majlis Konvokesyen KUPU SB Ke-8 Tahun 1440H/2018M berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas di sini.

Mengenai mengemaskan program dan kokurikulum, Dr. Haji Adanan seterusnya menyembahkan bahawa semua pelajar KUPU SB dilibatkan dengan pendekatan satu semester satu nadi atau kelab, satu riadah dan satu kebaktian. Pendekatan itu telah memberikan kesan yang positif dalam pembentukan jati diri pelajar.

"Dari aspek jasmani, alhamdulillah, KUPU SB melangkah ke hadapan dengan mempraktiskan riadah sunnah seperti memanah dan berenang. Begitu jua sukan Lumba Perahu, Silat dan sukan-sukan popular lain," katanya lagi.

Melalui pendekatan Satu Semester Satu Nadi, jelasnya, KUPU SB berhasil meningkatkan daya berfikir, kreativiti dan produktiviti pelajar untuk bergerak ke arah keusahawanan. Selain itu, kemahiran hayat pelajar juga ditingkatkan dengan kursus kemahiran teknik dan vokasional serta kecemasan dengan kerjasama beberapa buah kementerian.

Dr. Haji Adanan juga menyatakan dalam kurikulum yang baharu sejak 2016, KUPU SB telah menjadikan subjek Sejarah Islam sebagai kursus teras dengan penyesuaian kontainnya dengan silibus di sekolah-sekolah dan sementara itu, satu Konferens Pendidikan Sejarah Islam telah diadakan pada 10 Oktober 2018 lalu dengan kerjasama Pusat Sejarah.

"Alhamdulillah, KUPU SB terus menerus mendapat kepercayaan daripada Institut Pengajian Tinggi dan persatuan universiti antarabangsa dalam mencapai visi dan objektifnya sebagai sebuah universiti terbilang di alam Melayu bertaraf antarabangsa," kata Dr. Haji Adanan.

Tambahnya, pada tahun hadapan, insyaaAllah KUPU SB akan menjadi hos bagi University Community Engagement Conference dengan kerjasama Asia-Pacific University Community Engagement Network atau APUCEN.

Selain itu, KUPU SB juga diberikan kepercayaan untuk menjadi tuan rumah sebagai penganjur Konferensi Antarabangsa Islam di Borneo pada tahun hadapan.


(Petikan dari Pelita Brunei, Selasa 6 November 2018 oleh Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi / Foto: Mohamad Azmi Awang Damit, Hamzah Mohidin, Azmah Haji Ahad)

Attachments