Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

SERAMAI 350 HADIRI PROGRAM AT-TABAYYUN

TEMBURONG, 29 Ogos – Sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Temburong dengan kerjasama Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) telah mengadakan Program At-Tabayyun (2). 

Hadir selaku tetamu khas pada program yang diadakan di Dewan Belalong Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Turut hadir ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Emran bin Haji Sabtu; Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohammad Khairul Shahrul bin Haji Duahim; Ketua Pegawai Ugama Daerah Temburong, Haji Jamil bin Haji Abdul Ghani, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli Muslimah Daerah Temburong, ahli-ahli takmir masjid dan para pelajar serta orang ramai. 

Seramai 350 orang terdiri daripada pegawai-pegawai dan kakitangan kerajaan, anggota beruniform, agensi swasta, persatuan-persatuan, jawatankuasa takmir dan Muslimah serta belia masjid, penuntut-penuntut sekolah dan masyarakat yang beragama Islam di Daerah Temburong khususnya telah menghadiri program berkenaan. 

Program berkenaan merupakan usaha berterusan dalam menjalinkan kerjasama antara kedua-dua belah pihak terutama dalam memberikan sumbangan penyebaran dan perkembangan agama Islam serta kefahaman terhadap subjek tumpuan yang menjadi fokus di majlis tersebut iaitu yang berkaitan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.


Haji Mohd Serudin hadir selaku tetamu khas dalam Program At-Tabayyun (2) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-72 di Dewan Belalong Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Temburong.

 

Profesor Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo dan Dr Haji Noralizam semasa menyampaikan ceramah mereka di majlis tersebut.

 

Dengan tema 'Memahami dan Menghayati Pegangan Ahli Sunnah Waljamaah, Asas Kekukuhan Akidah', program menampilkan dua orang penceramah iaitu Profesor Madya Dr Syamsul Bahri Andi Galigo dari Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah KUPU SB dengan tajuk ceramah beliau 'Prinsip-prinsip Ahli Sunnah Wal-jamaah'. 

Sementara itu, Pensyarah Pusat Teras KUPU SB, Dr Haji Noralizam bin Haji Aliakbar pula membincangkan 'Amalan-amalan Harian Ahli Sunnah Waljamaah'. 

Antara objektif program berkenaan adalah bagi memeriahkan lagi Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia melalui acara-acara keagamaan, memberikan kefahaman dan menyuntik penghayatan beragama serta memantapkan keimanan kepada umat Islam khususnya penduduk di Daerah Temburong. 

Selain itu juga bagi memupuk kerjasama yang erat antara kedua-dua institusi dalam memberikan sumbangan keagamaan kepada masyarakat, menjaga keutuhan pegangan umat Islam di Negara Brunei Darussalam daripada anasir-anasir yang boleh membawa kepada perselisihan dan usaha ke arah memantapkan lagi perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan falsafah Melayu Islam Beraja.


(Petikan dari Media Permata, Khamis 30 Ogos 2018 oleh Noorhamizan Haji Mohd Mosbi)


Attachments