Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

LAHIR INDIVIDU UTAMAKAN IKATAN PERSAUDARAAN

TUTONG, 27 Ogos – Seramai 30 orang mahasiswa dan mahasiswi Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) dan 12 orang belia Masjid Pengiran Anak Haji Mohamed Alam (PAHMA), Kampung Sengkarai, Daerah Tutong yang menyertai Program Perkhemahan Ukhuwwah Islamiyyah telah menerima sijil masing-masing pada majlis penutup yang diadakan di Masjid PAHMA, baru-baru ini. Hadir selaku tetamu kehormat majlis anjuran KUPU SB di bawah Kelab Fikrah, Fakulti Usuluddin dengan kerjasama Jawatankuasa Takmir Masjid PAHMA itu ialah Dekan Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr Mikdar Rusdi yang turut menyempurnakan penyampaian sijil dan hadiah kepada para peserta sekali gus menyampaikan sumbangan kepada lima buah keluarga terpilih dan sumbangan berbentuk wakaf kepada masjid tersebut.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah pensyarah-pensyarah KUPU SB, ketua Kampung Sengkarai, ahli-ahli jawatankuasa program perkhemahan dan para penduduk kampung.

Objektif utama program berkonsepkan 3 'S' iaitu Syiar, Salam dan Silaturrahmi berkenaan adalah untuk menunaikan tanggungjawab melahirkan individu Muslim dengan mengutamakan ikatan persaudaraan bersama penduduk kampung.

Selain itu, ia juga bertujuan untuk menerapkan konsep 'Amar Makruf Nahi Munkar' dan sikap tolong-menolong ke arah kebajikan dan ketakwaan dalam kalangan peserta dan penduduk kampung yang terlibat.


Para peserta Program Perkhemahan Ukhuwwah Islamiyyah bergambar ramai bersama tetamu kehormat dan ahli-ahli jawatankuasa program sebagai penutup acara bagi majlis yang berlangsung di Masjid PAHMA, baru-baru ini.


(Petikan dari Media Permata, Selasa 28 Ogos 2018 oleh Nurdiyanah R.)

Attachments