Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

TINGKAT KUALITI PEMBELAJARAN

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Dalam usaha untuk memperkenalkan Sistem Jaminan Kualiti-Rangkaian Universiti ASEAN (AUN-QA) dan meningkatkan sistem jaminan kualiti di universiti-universiti, seramai 29 orang peserta dari institusi-institusi pengajian tinggi di Brunei Darussalam menyertai Kursus Latihan AUN-QA bagi mencapai

Program Penilaian (Tahap 1) yang bermula hari ini hingga 10 Ogos di Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Perasmian kursus berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Setiausaha Tetap di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad. Turut hadir semasa perasmian kursus itu ialah Naib Canselor UBD, Datin Dr Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz, pemangku naib canselor dan rektor, penolong naib canselor, pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan institusi pengajian tinggi serta para peserta latihan berkenaan.

Dr Haji Azman bergambar ramai dengan para jemputan khas, jurulatih jemputan dan peserta kursus latihan selepas perasmian Kursus Latihan AUN-QA bagi mencapai Program Penilaian (Tahap 1), di UBD.

Pengerusi kursus berkenaan, Dr Masitah Shahrill dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa kursus itu diadakan dengan matlamat untuk memperkenalkan Sistem AUN-QA, proses penilaian kualiti AUN dan untuk memberikan nasihat mengenai kaedah bagi membuat laporan penilaian bagi program pembelajaran berkenaan.

Dr Haji Azman bergambar ramai dengan para jemputan khas, jurulatih jemputan dan peserta kursus latihan selepas perasmian Kursus Latihan AUN-QA bagi mencapai Program Penilaian (Tahap 1), di UBD.

Beliau juga menyatakan bahawa kursus tersebut adalah julung kalinya diadakan di Brunei, dengan disertai oleh peserta-peserta dari institusi-institusi pengajian tinggi di negara ini, di mana kursus itu memberikan peluang kepada institusi pengajian tinggi meningkatkan lagi kualiti pembelajaran dan pengajaran mereka di semua peringkat program yang ditawarkan.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Majlis AUN-QA, Profesor Madya Dr Nantana Gajaseni dalam ucapannya pula berkata bahawa sejak penubuhan AUN, program jaminan kualiti merupakan antara aktiviti utamanya dengan matlamat untuk terus meningkatkan jaminan kualitinya supaya menjadi di antara yang terbaik di rantau ASEAN.

Oleh itu, jelasnya, pada 2018, ia menandakan langkah yang signifikan bagi AUN kerana bukan sahaja ia merupakan ulang tahun AUN ke-20 tetapi rangkaian AUN-QA akan terus dijadikan pemandu utama bagi perkembangan pendidikan di ASEAN.

Dalam hubungan itu, AUN-QA bukan sahaja akan menumpukan kepada kegiatan penilaian tetapi juga akan terus menumpukan kepada pembangunan kapasiti menerusi latihan AUN-QA.

Kursus latihan selama empat hari itu disertai oleh profesor-profesor, pensyarah-pensyarah dan profesional, di mana mereka dilatih untuk menyediakan dan meningkatkan program-program akademik bagi mencapai akreditasi AUN-QA.

Latihan dan akreditasi itu akan membantu memastikan bahawa program-program yang ditawarkan terus relevan dengan permintaan yang meningkat daripada pelajar-pelajar dan masyarakat untuk pendidikan tinggi yang lebih berkualiti.

Persijilan yang dilaksanakan juga menyediakan peluang bagi institusi pendidikan tinggi serantau untuk mengekalkan dan meningkatkan lagi standard serta kualiti pendidikannya dan mempromosikan program mereka di peringkat antarabangsa serta pada masa yang sama, memenuhi standard dan kedudukan dalam ranking dunia.


*KUPU SB di wakili oleh Yang Mulia Dk Siti Katijah binti Pg Sulaiman, Pengarah Antarabangsa dan Perhubungan Awam. 


(Petikan dari Media Permata, Selasa 7 Ogos 2018 oleh Sim Y.H dan *tambahan dari KUPU SB)

Attachments