Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PENYAMPAIAN KHUTBAH PUNYAI SENI TERSENDIRI, SATU KERJA KHUSUS

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Julai. - Kursus intensif membaca khutbah dan menghalusi sembahyang merupakan usaha untuk memberikan kefahaman serta pengetahuan yang diperlukan kepada imam-imam dan usaha ini sangat bagus, malah perlu bagi kesempurnaan tugas-tugas imam.

Perkara tersebut antara yang ditekankan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned pada Majlis Pembukaan Kursus ntensif Membaca Khutbah dan Menghalusi Solat yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).


MUFTI Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned (kiri) semasa hadir pada Majlis Pembukaan Kursus Intensif Membaca Khutbah dan Menghalusi Solat.

Tegas Yang Berhormat, jangan menyangka tugas menyampaikan khutbah ini dianggap senang atau mudah, ia adalah satu kerja khusus, ada seninya tersendiri, bukan membaca, tetapi menyampai.

''Kalau membaca, kita hanya membaca, tidak perlu berbangkit bagaimana cara membaca, boleh sahaja membaca dengan betul dan sempurna tanpa menjejaskan pahala makmum. Nah! Bayangkan kalau jemaah berjumlah 100 – 200 orang, maka berapa ribu pahala yang akan dijawat oleh Imam? Ya, banyak, kaya dia, kaya! Begitulah untungnya pekerjaan Imam,'' ujar Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Tambahnya lagi, jika kerjaya yang menguntungkan ini dilakukan sampai berpuluh tahun sehingga pencen, berapakah kekayaan itu dapat diraih? Inilah kelebihan bagi Imam.

''Allah beri mereka kelebihan itu, jadi jangan bersungut kerana tugas Imam memang ia berat, tetapi ganjarannya lumayan, yang penting di sini, sempurnakan tugas itu. Baiki apa yang belum baik, atau ditambah supaya lebih baik lagi apa yang sudah sedia baik, atau dengan kata lain sempurnakan mana-mana yang belum sempurna, inilah namanya kita meningkatkan prestasi, prestasi dalam pekerjaan,'' tegas Yang Berhormat lagi.

Menurut Yang Berhormat, teknik dan cara khusus dan seni khutbah yang hebat lagi cantik dapat dilihat dari riwayat ini : sahabat Jabar bin Abdullah Radiallahuanhu, meriwayatkan katanya maksudnya : adalah Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam apabila berkhutbah, merahlah kedua mata Baginda, suara Baginda juga keras dan bersengatan kemarahan Baginda seakan-akan Baginda memperingatkan pasukan tentera.

Inilah antara teknik dan seni khutbah yang dapat dikesan daripada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dan riwayat ini, jelas Yang Berhormat lagi dapat dijadikan pedoman bagaimana seseorang Khatib itu boleh menyampaikan atau kurang tepat atau kurang jelas kerana terlalu cepat dan gugup atau mahu untuk cepat-cepat habis.

''Kita perlu ingat, doa di sini adalah rukun, memerlukan ia dibaca dengan sempurna, dengan sebutan yang terang dan betul, dan baca sebagaimana semestinya,'' tegas Yang Berhormat.

Kursus intensif membaca khutbah dan menghalusi solat merupakan anjuran bersama pihak KUPU SB, Jabatan Hal Ehwal Masjid (JHEM) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama yang dihadiri oleh kira-kira 450 peserta terdiri daripada imam-imam Masjid seluruh negara, Guru Besar Sekolah Ugama dan pelajar-pelajar Tahun 4 Program Sarjana Muda Perguruan Ugama dan Diploma Tertinggi Perguruan Ugama KUPU SB.

Menerusi ucapan alu-aluan Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar menjelaskan, majlis ilmu yang diadakan antara lain bertujuan untuk menghalusi solat dengan tertib amalan Mazhab  Al-Syafii yang merupakan asas dalam cara hidup falsafah MIB juga perlembagaan negara.

''Perkara ini sangat penting dalam meningkatkan penghayatan solat para pelajar, ibu bapa dan lebih  khusus para imam yang mengimamkan solat berjemaah di masjid-masjid,'' jelasnya.

Selain itu tambahnya ia juga adalah untuk meningkatkan fungsi masjid sebagai salah satu ejen pendidikan Islam melalui majlis ta'lim dan khususnya khutbah Jumaat dengan pendekatan yang lebih berkesan.

Kemuncak acara di sebelah pagi diteruskan dengan sesi pembentangan kertas kerja bertajuk 'Kaedah Khutbah yang Berkesan' yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr. Mikdar Rusdi.

Sementara pada sebelah petangnya pula diadakan demonstrasi rukun (solat) yang difasilitatorkan oleh Pemangku Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Besar.

Kursus antara lain merupakan sebagai usaha pada merealisasikan hasrat titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Peringatan Israk dan Mikraj Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Tahun 1439H.

Objektif kursus pula adalah bagi memperkenalkan metod penyampaian khutbah yang berkesan, menghalusi rukun-rukun solat menurut Mazhab Syafii dan menghayati solat berjemaah dalam kalangan keluarga dan masyarakat.

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 14 Julai 2018 oleh Khartini Hamir)

Attachments