Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

GURU SEBAGAI SURI TELADAN PELAJAR

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Dengan pelancaran Program Pemantapan Sahsiah Pelajar bagi Bakal Graduan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) 2018 hari ini, ceramah khas bertajuk 'Guru Profesional dan Berintegriti ' disampaikan oleh Pemangku Raes KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

Dalam ceramah beliau yang berlangsung di kolej berkenaan itu menjelaskan mengenai peranan guru dalam pendidikan, guru sebagai mualim, guru sebagai murabbi, guru sebagai pengamal ilmu, guru sebagai pengamal kemahiran profesional dan lain-lain.

Katanya lagi, "Guru sebagai mualim hendaklah memastikan ilmu yang diajarkan itu adalah betul, bermanfaat dan tepat berasaskan sumber yang benar dalam erti kata lain di mana guru itu hendaklah banyak membaca."

Bukan setakat itu, jelasnya, guru mestilah juga menguasai sukatan subjek dan mengajar mengikut kurikulum yang disediakan di samping guru juga memerlukan strategi dan memilih kaedah yang relevan supaya pengajaran dan pembelajaran adalah berkesan dan dapat mencapai objektif pembelajaran.

Manakala guru sebagai murabbi pula perlu mendidik dengan dedikasi dan menganggap pelajar sebagai anak atau adik selain mengutamakan kebajikan pelajar dan memberikan bantuan secara dedikasi.


Dr Haji Adanan semasa menyampaikan ceramah khas pada majlis berkenaan.

"Adalah perlu juga menyemai nilai MIB dengan menasihati pelajar untuk berakhlak mulia, berjati diri dan menghayati nilai-nilai MIB seterusnya membimbing dengan adab-adab MIB dalam tingkah laku," tegasnya.

Katanya lagi, "Para guru juga perlu mengembangkan potensi pelajar dalam aspek rohani, akal, jasmani, emosi dan sosial pelajar sekali gus membimbing pelajar untuk menjadi warga berbakti, pelajar bertanggungjawab dan pelajar amar makruf dan pelajar nahi mungkar.

Apa yang penting, guru adalah suri teladan kepada pelajar dengan menunjukkan akhlak mulia, perwatakan mesra dan ceria.

Beliau seterusnya menjelaskan dalam ceramahnya, yang mana guru mesti mempraktikkan dan memperkembangkan ilmu untuk tujuan kebajikan, perkhidmatan dan sumbangan.

"Selain itu, guru juga sebagai pengamal ilmu yang perlu mempraktikkan budaya ilmu seperti banyak membaca, berfikir, memerhati, berkarya, bertukar fikiran serta mencari pengalaman baharu," jelasnya.

"Untuk mewujudkan dan menjamin kesepaduan ilmu dalam bilik darjah, adalah penting bagi guru terus menjadi seorang pengamal ilmu," tambahnya.


(Petikan dari Media Permata, Rabu 23 Mei 2018 oleh Salawati Haji Yahya)

Attachments