Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PEGANGAN AHLUSSUNNAH WALJAMAAH BERTERASKAN FALSAFAH MIB

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin, 7 Mei. - Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman berkata, Negara Brunei Darussalam sangatlah menghargai peranan Al-Azhar Al Syarif dalam menyebarkan ajaran Islam yang benar, serta memantapkan fahaman 'wasathiyah' di dalamnya, juga menjaga kepentingan umat Islam, melindungi ajaran-ajarannya dan menentang apa juga usaha untuk meragui dan merosakkannya.

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman semasa hadir selaku tetamu kehormat pada majlis Ceramah Khas tersebut. 

''Kami meyakini bahawa fahaman 'wasathiyah' Islam mengikut pegangan Ahlussunnah Waljamaah adalah dasar utama bagi sistem pendidikan dan kenegaraan di Negara Brunei Darussalam, di samping ia juga berteraskan falsafah Melayu Islam Beraja. Oleh kerana itu, kerjasama antara lembaga-lembaga pendidikan yang ada di Negara Brunei Darussalam dengan Universiti Al-Azhar adalah perkara yang sangat penting dan perlu untuk terus dikukuhkan,'' jelas Yang Berhormat semasa berucap selaku tetamu kehormat pada Ceramah Khas bertempat di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas sempena kunjungan Sheikh Al-Azhar Al-Syarif, Yang Berhormat Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Profesor Dr. Sheikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb ke Negara Brunei Darussalam. 

Yang Berhormat Fadhilat Al-Imam Al-Akbar, Sheikh Al-Azhar Al-Syarif dalam ceramahnya 'Cabaran Umat Islam Dalam Menghadapi Ancaman Keganasan' memberi perhatian tentang isu keganasan yang berleluasa dewasa ini, kerana ianya sangat signifikan terhadap Islam dan umat Islam. 

MENTERI Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othmanketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Ceramah Khas tersebut.

Yang Berhormat turut menyentuh mengenai teori Islamophobia, yang pada tanggapan setengah pihak adalah bersumberkan daripada Al-Quran dan sunnah. 

Menurutnya, persepsi ini adalah tidak benar, kerana mangsa utama keganasan adalah di kalangan kaum Muslim, yang mana bilangannya lebih tinggi daripada mangsa kekecohan lain yang berlaku di dunia pada masa ini. 

Ceramah Khas tersebut dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Jabatan Pengajian Islam (JPI) dengan kerjasama Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB). 

SHEIKH Al-Azhar Al-Syarif, Yang Berhormat Fadhilat Al-Imam Al-Akbar Profesor Dr. Sheikh Ahmed Mohamed Ahmed El-Tayeb semasa menyampaikan ceramahnya bertajuk 'Cabaran Umat Islam Dalam Menghadapi Ancaman Keganasan' sempena lawatan beliau ke negara ini. 

Majlis tersebut juga dihadiri oleh Yang Berhormat Menteri-Menteri Kabinet, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Duta-Duta dan wakil daripada Kedutaan Besar dan Perwakilan Asing di Negara Brunei Darussalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Rektor UNISSA, Pemangku Ra'es KUPUSB dan Pengarah JPI, Dayang Hajijah binti Haji Moktal selaku Pengerusi Bersama majlis. 

Sebelum sesi ceramah bermula, bacaan ayat suci Al-Quran disampaikan oleh johan Musabaqah Tilawah Al-Quran Belia Asia Tenggara 2107, Awang Ahmad Zulwaqar bin Suhaili.

 

CERAMAH khas tersebut turut dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam serta pasukan-pauskan beruniform.

Antara objektif majlis ini diadakan ialah untuk memberi kefahaman tentang isu-isu keganasan yang mengancam masyarakat dunia, khususnya umat Islam itu sendiri. Majlis ini juga akan dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa umat Islam itu sendiri memainkan peranan penting dalam menghadapi cabaran keganasan. 

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Perasmian Penubuhan Rabithah Antarabangsa Alumni Universiti Al-Azhar, Cawangan Brunei Darussalam.

ANTARA pegawai dan kakitangan perkhidmatan awam yang hadir mendengarkan ceramah khas tersebut. 

Lebih kurang 2,000 orang hadir bagi sama-sama mendengarkan ceramah berkenaan, terdiri daripada para pegawai dan kakitangan KHEU, pensyarah dan pelajar UNISSA dan KUPU SB serta orang ramai.


(Petikan dari Pelita Brunei, Selasa 8 Mei 2018 oleh Aimi Sani)

Attachments