Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

PERTAHANKAN PEGANGAN AHLI SUNNAH WALJAMAAH

BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 26 April. - Ahli Sunnah Waljamaah sebagai pegangan umat Islam yang tulen yang telah diamalkan sejak berzaman di alam Melayu termasuk di Negara Brunei Darussalam, perlu dipertahankan dan diperkukuhkan lagi, kerana ia telah terbukti membawa keamanan dan kesejahteraan serta kehidupan yang harmoni.

Penolong Kanan Profesor Fakulti Usuluddin KUPU SB, Dr. Mikdar Rusdi menyatakan perkara tersebut semasa membentangkan Resolusi Seminar Kefahaman Aqidah dan Pemikiran Semasa 2018 (SEKAPES 2018) di Majlis Penutup seminar berkenaan yang berlangsung di KUPU SB, di sini.

Dalam resolusi tersebut juga menyatakan, konsep keseimbangan dalam berugama (Wasatiyyah) merupakan konsep asas Ahli Sunnah Waljamaah yang perlu ditekankan, agar dapat memberi imej positif tentang ugama dan masyarakat Islam di mata dunia, sekali gus menjadi benteng dalam menangani gerakan pelampau ugama dan fahaman liberal.

Falsafah Melayu Islam Beraja (MIB) dan perlembagaan yang sedia ada serta gagasan 'Negara Zikir' terbukti menjadi benteng kukuh dalam usaha mempertahankan kemurnian akidah berteraskan kepada manhaj Ahli Sunnah Waljamaah.

Resolusi tersebut juga menjelaskan, Institusi Pendidikan al-Azhar al-Sharif, sebuah institusi pendidikan Islam yang tertua di dunia yang menjadi tonggak pengembangan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, perlu menjadi rujukan bagi institusi pengajian Islam di rantau ini.


PENOLONG Kanan Profesor Fakulti Usuluddin, Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Dr. Mikdar Rusdi membacakan resolusi seminar.

Kurikulum Pendidikan Ugama Islam (PUI) perlu diaplikasikan dengan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah sama ada di peringkat sekolah rendah, menengah mahupun di peringkat pengajian tinggi.

Resolusi tersebut juga menyatakan mengenai, Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 bermula 1 Januari 2013 telah dikuatkuasakan. Dalam akta ini, kanak-kanak berumur tujuh tahun diwajibkan bersekolah ugama bermula dari peringkat Pra Sekolah Agama hingga tamat Darjah VI. Perintah pendidikan ini sudah setentunya akan menjadi salah satu tapak semaian yang baik sebagai benteng jati diri Muslim.

Mata pelajaran yang berkaitan dengan akidah terutamanya Tauhid, mesti diajarkan secara komprehensif dan holistik di semua peringkat pendidikan berpandukan kitab-kitab tulen yang muktabar dalam aliran Ahli Sunnah Waljamaah. Seterusnya dalam resolusi tersebut juga menjelaskan, kepelbagaian pendekatan strategi kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran perkara-perkara al-Sam'iyyat dalam akidah Islam perlu dikaji, agar lebih memberi kesan terhadap pengukuhan akidah Ahli Sunnah Waljamaah, khususnya dalam kalangan generasi muda di Negara Brunei Darussalam.

Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah hendaklah diaktifkan dari sudut pengamalannya (tatbiqy) dengan melakukan penyelidikan dan menyebarluaskannya menerusi penerbitan buku-buku, artikel-artikel dan risalah-risalah serta mengadakan seminar, forum dan kegiatan ilmiah lainnya.

(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 28 April 2018 oleh Dk Vivy Malessa Pg Ibrahim)

Attachments