Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

JADIKAN TERAPI KETUHANAN SEBAGAI RAWATAN UTAMA

BERAKAS, Sabtu, 18 Mac. - Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menekankan bahawa terapi ketuhanan berupa zikir-zikir yang meliputi ayat-ayat Al-Quran, ruqyah-ruqyah Nabawiyyah dan doa-doa turut diperkenalkan di Pusat-pusat Kesihatan dan klinik-klinik kita sebagai rawatan utama atau sekurang-kurangnya sebagai rawatan sokongan kepada terapi-terapi yang sedia ada.

Menurut Yang Berhormat, kita tidak wajar memandang ringan aspek kesihatan mental. Sebelum wabak pada 2019, dianggarkan satu daripada lapan orang di seluruh dunia adalah hidup dengan gangguan mental. Kemudian masuk era COVID-19, juga tercipta krisis global kesihatan mental yang lebih kronik, yang melibatkan berjuta-juta orang.

''Anggaran telah meletakkan peningkatan kemurungan melebihi 25 peratus semasa tahun pertama sahaja wabak ini, sebagaimana data terbaharu yang direlease oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Menurut Direktor General WHO, Dr. Tedros Adhanom, temuan ini mungkin hanya sebahagian kecil sahaja, dan masih ada lagi kejadian depresi (kemurungan) yang belum terungkap,'' terang Yang Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan Kertas Perdana yang bertajuk 'Kesihatan Mental Ke Arah Kesejahteraan Ummah' bertempat di Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Sebagaimana jelas Yang Berhormat Mufti Kerajaan yang disampaikan dalam perutusan Yang Berhormat Menteri Kesihatan sempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2022, antara lain menekankan bahawa beban kesihatan mental di peringkat global semakin meningkat akibat cabaran yang dihadapi di seluruh dunia sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan menambah dengan menyebut rekod kesihatan elektronik (Bru-HIMS) bagi tahun 2021, seramai 1,515 individu didiagnosis dengan anxiety disorder dan lebih daripada 900 individu mengalami depressive disorders.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi, di seluruh dunia, pandemik COVID-19 mengakibatkan peningkatan tahap tekanan mental atau stres dan mewujudkan kadar kebimbangan dan kemurungan yang tinggi dianggarkan satu dalam empat individu mengalami masalah mental, semasa tahun pertama pandemik berlaku.

seminar_mental3.png

YANG Berhormat Mufti Kerajaan semasa menyampaikan Kertas Perdana yang bertajuk 'Kesihatan Mental Ke Arah Kesejahteraan Ummah' di Pusat Persidangan Antarabangsa.

Yang Berhormat Mufti Kerajaan seterusnya mengingatkan bahawa dunia kita juga terus dilanda oleh pelbagai musibah, seperti gempa-gempa bumi, banjir besar, ribut taufan, letusan-letusan gunung berapi, peperangan, pembunuhan, krisis-krisis politik dan ekonomi yang tiada redanya.

Ini semua kata Yang Berhormat Mufti Kerajaan, berpotensi untuk menciptakan gejala-gejala kemurungan penyakit mental.

Setakat masa kini sahaja, dunia kita sedang dihantui oleh jumlah berskala besar mangsa-mangsa musibah. Mangsa COVID-19 disahkan hampir 800 juta dengan jumlah kematian mencecah angka 6.8 juta, setakat data kemas kini WHO pada 28 Februari 2023.

Jelas Yang Berhormat Mufti Kerajaan lagi, gempa bumi di Turkiye dan Syria pada 6 Februari 2023, setakat 7 Mac 2023 dilaporkan seramai 52,780 orang mati dan 129,490 yang cedera. Di Pakistan, mangsa banjir, dianggarkan sehingga kira-kira sembilan juta yang boleh dihimpit oleh kemiskinan yang teruk. Di Malaysia dilaporkan, sekurang-kurangnya 51,200 orang dipindahkan ke pusat-pusat sementara akibat banjir, dan juga tidak terkecuali daripada turut mengorbankan nyawa. Ini belum lagi di bahagian-bahagian dunia yang lain, seperti Australia, Indonesia, Filipina dan lain-lain, yang masing-masing itu mempunyai mangsa-mangsa musibah yang tersendiri.

Tidak diragukan lagi, kesan daripada musibah-musibah ini tambah Yang Berhormat Mufti Kerajaan, pasti telah dan akan mencipta gejala-gejala mental kepada para mangsa.

''Nah, tidakkah ini menguatkan lagi alasan untuk kita sangat-sangat perlu beramal dan menerapkan terapi ketuhanan berupa zikir-zikir, ayat-ayat Al-Quran dan sembahyang, sebagai alat penenang jiwa yang runsing dan bahkan sebagai ubat bagi penyakit-penyakit mental. Di sinilah untungnya kita alhamdulillah, menjadi umat yang berugama Islam, di mana umat-umat di luar Islam sama sekali tidak akan terlintas untuk memahami hakikat ini,'' ujar Yang Berhormat Mufti Kerajaan.

Terdahulu, Yang Berhormat Mufti Kerajaan berkata, dalaman di dalam dada-dada dan hati-hati manusia, termasuk penyakit-penyakit mental.

''Jadi jelas, ibadat sembahyang adalah tidak terpisah dari Al-Quran, sama-sama menjadi terapi dan ubat bagi merawat semua penyakit, termasuk penyakit-penyakit mental. Ini saudara, very-very sorry kepada para pencipta terapi dan ubat di luar Islam, mereka itu sama sekali tidak mungkin terlintas perkara ini, kerana ketika mereka mencipta terapi dan ubat, mereka tidak merujuk kepada Al-Quran dan Al-Hadis.

Jadi di sini, sesuai dan bahkan perlu tegas Yang Berhormat Mufti Kerajaan, untuk pakar-pakar muslim memikirkan langkah-langkah terbaik, di samping kita juga tidak menolak terapi ciptaan-ciptaan orang lain, mengapa terapi ketuhanan yang ditunjuk oleh Allah dalam kitab-Nya tidak kita gunakan sama?

''Akal yang sihat duduknya di dalam badan yang sihat. Sebab itulah, kesihatan mental adalah sangat-sangat dihajati, sebaliknya penyakit mental, kita minta kepada Allah supaya ia benar-benar dijauhi,'' ujar Yang Berhormat Mufti Kerajaan lagi.


-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

ALLAH SUBHANAHU WATA'ALA SEDIAKAN UBAT UNTUK SETIAP PENYAKIT

BERAKAS, Sabtu, 18 Mac. - Penyakit mental adalah gangguan pada fun​gsi otak, yang menyebabkan boleh berlaku perubahan pada pemikiran, perasaan dan tingkah laku.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penyakit mental adalah antara lima penyakit utama yang menyebabkan hilang upaya di seluruh dunia.

Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned menekankan demikian semasa menyampaikan Kertas Perdananya bertajuk 'Kesihatan Mental Ke Arah Kesejahteraan Ummah' bertempat di Dewan Musyawarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, di sini.

Adakah penyakit mental itu pelbagai? Yang Berhormat Mufti Kerajaan menjawab ia jelasnya bukan hanya satu jenis sahaja, tetapi terdiri daripada beberapa kategori, iaitu secara umum terbahagi kepada tiga kumpulan utama, iaitu Neurosis dan Psikosis.

Neurosis terangnya, iaitu mengalami gangguan dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan. Antara contoh penyakit Neurosis ialah kemurungan dan kebimbangan.

Begitu juga dengan Psikosis tambah Yang Berhormat, ia mengalami perubahan amat ketara dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku, di mana kewarasan juga terjejas. Antara contoh penyakit Psikosis ialah penderita akan merasa keliru, mengalami suara-suara ghaib berkomunikasi dengannya, dikenali sebagai halusinasi.

Penderita juga ujar Yang Berhormat, mempunyai kepercayaan pelik yang menyebabkan reaksi melampau berlaku, seperti menganggap ada orang yang mahu menganiaya atau berbuat jahat kepadanya menyebabkan dia bertindak menyerang orang yang disyakinya itu.

Malah kata Yang Berhormat, penderita mungkin bercakap-cakap merapu, bercakap seorang diri, ketawa atau marah tanpa sebab dan lain-lain lagi. Akibat daripada semua ini boleh merosakkan atau memutuskan hubungan interpersonal dengan orang di sekelilingnya.

Namun menurut teori ada beberapa faktor menurut Yang Berhormat, yang dianggap boleh menyumbang kepada terjadinya penyakit mental, iaitu antaranya faktor genetik / keturunan, iaitu jika di dalam keluarga ada mempunyai sejarah penyakit mental, maka menurut teori, ini adalah berisiko lebih tinggi, berbanding populasi yang tidak ada sejarah penyakit berkenaan.

Demikian itu antara penyebab penyakit mental menurut teori. Penyakit mental itu terang Yang Berhormat, boleh dirawat atau diubati kerana setiap penyakit, Allah Subhanahu Wata'ala sediakan ubatnya dan kita juga disuruh berubat. Dalam bidang perubatan moden telah membolehkan penemuan ubat-ubat yang dianggap mampu untuk merawat penyakit mental.

Selain ubat Psikotropik, pendekatan sokongan ujar Yang Berhormat, juga digunakan seperti kaunseling, psikoterapi, terapi kognitif, terapi berkelompok, terapi keluarga, terapi pemulihan cara kerja dan pemulihan psikososial dan pendidikan psikologi adalah dianggap sebagai ubat merawat mental.

Yang Berhormat menyatakan semua hospital dan klinik kesihatan, biasanya mempunyai anggota-anggota terlatih untuk memberikan rawatan kepada mereka yang mengalami masalah mental dengan pakar psikiatri pula sedia dirujuk bagi kes-kes yang rumit.

Inilah kata Yang Berhormat, rawatan moden yang menampilkan pelbagai jenis terapi. Semua ini adalah terapi biasa dengan nama-namanya dicipta menurut kesesuaian.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 20 Mac 2023. Oleh : Nooratini Haji Abas Foto : Mohd. Sahrizal Haji Said​)

Attachments