Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

JADIKAN AL-QURAN SEBAGAI SANDARAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 28 Januari. - Kira-kira 30 belia dari Pusat Da'wah Islamiah dan Universiti Islam Sultan Sharif Ali; guru-guru Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, juga persendirian hari ini menghadiri Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara Siri 2 bertajuk 'Belia Pencinta Al-Qur'an dan Al-Hadith' yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini

Bengkel anjuran KUPU SB melalui Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah dengan kerjasama Fakulti Usuluddin, Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Pusat Penyelidikan dan Pengajian Jawi dan Kitab Turath serta Pusat Ilmu Teras berkenaan adalah kesinambungan daripada Bengkel Siri 1 yang telah diadakan pada tahun 2022 lepas.

Bengkel Siri 2 tersebut mengandungi tiga modul, yang dibincangkan bersama oleh para pensyarah Fakulti Usuluddin KUPU SB terdiri daripada Dr. Mikdar Rusdi, Dr. Norasimah binti Haji Omar, dan Dr. Norashibah binti Haji Besar.

BIBSHN_1.png

DR. Mikdar Rusdi ketika menerangkan mengenai 'Belia Pencinta Al-Quran asas kegemilangan umat'.

Dr. Mikdar Rusdi yang menerangkan mengenai 'Belia Pencinta Al-Quran asas kegemilangan umat', menjelaskan beberapa perkara penting berkaitan hubungan belia dan Al-Quran, di mana belia selaku penentu hala tuju masa depan umat jangan pernah berpisah daripada Al-Quran bagi menjamin masa depan umat khususnya Negara Brunei Darussalam sebagai negara zikir.

"Belia bertanggungjawab untuk sentiasa merasakan keperluan yang mendalam dalam hati untuk memahami dan menghayati melalui tadabbur Al-Quran bukan membaca hanya sekadar untuk mengkhatamkan bacaan," terangnya.

Dr. Mikdar turut menambah, corak generasi akan datang akan ditentukan oleh belia masa kini, maka sangat penting bagi para belia menjadikan Al-Quran sebagai sandaran dan pegangan demi menyerlahkan kegemilangan negara zikir.

BIBSHN_2.png

ANTARA yang menghadiri Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara Siri 2 bertajuk 'Belia Pencinta Al-Qur'an dan Al-Hadith' yang berlangsung di Dewan Tarbiah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan.​

BIBSHN_3.png

Dr. Norasimah binti Haji Omar pula semasa Menyingkap Kemukjizatan Al-Quran menjelaskan bahawa Al-Quran adalah kitab Allah yang maha agung dan penuh dengan rahsia-rahsia kemukjizatan yang sangat luas sehinggakan akal manusia masih belum mampu menyingkap kesemua mukjizat tersebut.

Namun begitu, Dr. Norasimah menerangkan bahawa kita sebagai umat yang beriman dengan kitab Allah, hendaklah sentiasa membuka hati dan secara berterusan memperhatikan serta menghayati kandungan ayat-ayat Al-Quran agar mampu menyelami keindahan samudera ilmu Al-Quran dan sekali gus mampu mengukuhkan lagi rasa takjub terhadap kebesaran dan ketinggian ilmu serta kuasa Allah Subhanahu Wata'ala.

Sementara, Dr. Norashibah binti Haji Besar ketika membincangkan mengenai 'Peranan ilmu Hadith Riwayah dan Dirayah dalam memelihara pengambilan sumber rujukan hadis, menyatakan bahawa dengan mendalami ilmu takhrij sebenarnya akan lebih membuatkan kita merasa kagum dengan sumbangan luar biasa ulama hadis dalam memelihara khazanah hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

"Ribuan kitab yang menyimpan perbendaharaan yang cukup berharga ini kekal menjadi milik umat Islam. Oleh itu, hadis menjadi pentafsir kepada Al-Quran dan sumber penting dalam syarak," ujarnya.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 30 Januari 2023. Berita dan Foto : Pg. Syi'aruddin Pg. Dauddin​)

Attachments