Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KE ARAH KEHIDUPAN BERKELUARGA PENUH HARMONI

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Mu'tamar Antarabangsa Fiqh al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22) diadakan dengan harapan dapat memperkasa pendidikan kekeluargaan Islam dalam kalangan Umat Islam pada masa kini.

MUAFIQ 22 diteruskan dengan pembentangan kertas-kertas utama secara dalam talian dengan mengetengahkan Kertas Utama I, bertajuk 'Pendekatan Kaunseling Syarie untuk Keharmonian Rumahtangga', disampaikan oleh Timbalan Dekan HEPA, Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris Malaysia, Dr. Md. Noor bin Saper.

Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan kewujudan rumah tangga yang tenteram mawaddah warahmah serta wujud kasih sayang di antara semua ahli keluarga adalah fokus utama keluarga bahagia.

Namun, terangnya, terdapat beberapa perkara yang menjadi punca penceraian, contohnya masalah kewangan, perselisihan faham, pergaduhan hingga memukul pasangan dan banyak lagi.

Hal ini, tekannya, adalah bagi mendapatkan rumah tangga sejahtera dalam keluarga menurut Islam, terdapat beberapa elemen asas dalam kekeluargaan, iaitu pengurusan rohani, pembudayaan ilmu, ibadah, ekonomi, keselamatan, pengangkutan, komunikasi, kediaman, kesihatan dan persekitaran.

muafiq2.png

SEBAHAGIAN daripada yang menghadiri MUAFIQ 22 berkenaan.

Hak berkenaan, iaitu isu dalam kekeluargaan, tambahnya, dapat dibantu diatasi dengan kaunseling syarie yang banyak membantu, malahan menjadi nilai tambah pada kaunseling yang sedia ada, dalam menangani pelbagai permasalahan semasa yang dihadapi oleh Umat Islam.

"Ia meliputi proses memberi bantuan dalam bimbingan dari segi fizikal, rohani dan spiritual yang berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah,'' ujar beliau lagi.

Manakala Kertas Utama II, disampaikan oleh Profesor Dr. H. Abdul Somad Batubara, Lc.m M.A., Ph.D Pengasuh Pesantren Tahfizh Al-Quran Az-Zahra Riau, Indonesia, dengan tajuk pembentangannya 'Pendidikan Ugama Dalam Keluarga'.

Jelasnya, pendidikan dari perspektif Islam bermula dari akhlak, ilmu, iman dan akal.

Manakala dari keluarga pendidikan bermaksud, keluarga itu beriman beramal berilmu dan berakhlak dan pendidikan ini bermula dari awal lagi, iaitu ketika memilih pasangan.

Profesor Dr. H. Abdul Somad Batubara juga mengongsikan amalan-amalan yang berkaitan dengan keluarga mulai daripada memilih pasangan hingga sampai ke alam perkahwinan, ketika waktu hamil dan cara mendidik anak serta perkara-perkara yang berkaitan pendidikan agama dalam keluarga.

MUAFIQ 22 diadakan, antara lain bertujuan untuk mengenal pasti isu-isu dan cabaran dalam kehidupan berkeluarga dan mencapai penyelesaian jangka panjang serta pendek untuk menuju ke arah kehidupan berkeluarga yang penuh harmoni, bahagia dan sempurna.

Bahkan, mu'tamar juga diharap dapat memberikan pendedahan akan kepentingan nilai-nilai keagamaan berserta kaedah penerapannya dalam kesempurnaan kehidupan sebuah keluarga Muslim.

Brunei MYCE 2022 adalah dianjurkan oleh Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan melalui Lembaga Pelancongan Brunei dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan, badan-badan berkanun, pihak berkepentingan dan agensi-agensi swasta.

Acara Brunei MYCE 2022 ini juga disokong penuh oleh Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Kementerian Kesihatan; Kementerian Pendidikan; dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Selain itu, antara rakan-rakan kongsi lain yang turut mendukung acara Brunei MYCE 2022 ini adalah D'Sunlit Sdn. Bhd. selaku pengendali acara; Datastream Digital Sdn. Bhd. (DST) sebagai rakan Telco; serta beberapa rakan media rasmi, iaitu Radio Televisyen Brunei (RTB); Jabatan Penerangan (Pelita Brunei); dan Brunei Press Sdn. Bhd.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Jun 2022. Oleh : Khartini Hamir Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan

Attachments