Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KELUARGA WUJUDKAN KETURUNAN, GENERASI PENERUS MASA DEPAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 8 Jun. - Fiqh ertinya ilmu tentang hukum-hukum agama Islam, manakala al-Usrah bererti keluarga atau ahli keluarga, maka ahli keluarga adalah hukum-hukum agama Islam yang wajib dipegang untuk diamalkan di dalam kehidupan berkeluarga.

Justeru dari keluargalah akan wujud keturunan atau generasi penerus masa depan, jika keturunan atau generasi itu baik, maka baiklah semuanya.

Sebuah keluarga itu juga dapat diumpamakan sebagai sebuah negeri, bila mana negeri yang baik akan mempunyai tanah yang subur, namun jika sebaliknya, tanah yang tidak baik akan membantutkan tanaman yang lain.

Maka di dalam negeri yang baik inilah pasti berdiri 'daulah' atau kerajaan yang baik pula, selain tanahnya subur, ia juga aman, makmur dan pastinya berada di bawah naungan serta peliharaan Allah Yang Maha Pengampun.

muafiq1.png

YANG Berhormat Mufti Kerajaan ketika membentangkan Kertas Perdananya, bertajuk 'Kepentingan Fiqh al-Usrah Mengemudi Rumahtangga', pada Perasmian Mu'tamar Antarabangsa Fiqh al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22).

Hal ini digariskan oleh Mufti Kerajaan Negara Brunei Darussalam, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned selaku tetamu khas ketika membentangkan Kertas Perdananya, bertajuk 'Kepentingan Fiqh al-Usrah Mengemudi Rumahtangga', pada Perasmian Mu'tamar Antarabangsa Fiqh al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22), di Dewan Tarbiyyah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), di sini.

Jelas Yang Berhormat Mufti lagi, apa yang kita mahukan di dalam sesebuah keluarga itu untuk membangun atau menubuhkan sebuah daulah atau kerajaan Islam yang berjalan di dalamnya semua hukum (undang-undang) Fiqh Islam.

''Jika ini berlaku, nescaya rumah tangga atau keluarga yang baik akan mendapat status sakinah, mawaddah dan rahmah daripada Allah Subhanahu Wata'ala,'' ujar Yang Berhormat Pehin.

Ini, tambahnya, dapat dicapai dengan ilmu dan bukan sahaja ilmu semata-mata, namun perlu ada konsep belajar tidak kira sebelum atau selepas mendirikan rumah tangga kerana perlunya dihalusi atau dipertingkatkan lagi pengetahuan yang sudah sedia ada.

KUPU SB melalui Pusat Kajian Fiql al-Usrah menganjurkan Mu'tamar Antarabangsa Fiqh al-Usrah 2022 (MUAFIQ 22) bersempena Sambutan Hari Keluarga Kebangsaan 2022 Negara Brunei Darussalam dan acara Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei 2022 (The Brunei Mid-Year Conference and Exhibition - Brunei MYCE 2022) dengan tema, Pendidikan Ugama Teras Keluarga Bahagia Lagi Sempurna.

Majlis terdahulu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, bacaan Asmaul Husna, nyanyian Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan bacaan Surah Al-Tahrim, ayat 6 hingga 8.

Seterusnya ucapan alu-aluan, disampaikan oleh Pengarah Pusat Kajian Fiqh al-Usrah, Awang Hilman bin Haji Salim selaku Pengerusi MUAFIQ 22.

Dalam ucapan alu-aluannya, beliau menyentuh akan kepentingan pendidikan kekeluargaan dalam membentuk sahsiah anak-anak yang juga tegasnya akan menentukan kekukuhan agama serta keharmonian bangsa dan masyarakat.

Beliau juga menjelaskan antara peranan utama institusi keluarga ialah melahirkan generasi bertakwa, berdisiplin dan bertanggungjawab serta mampu mendepani pelbagai isu sosial masa kini.

Tambahnya, selain menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Majlis Mesyuarat Negara 2012, yang menekankan pembentukan keluarga yang bahagia lagi sempurna, berlangsungnya MUAFIQ 22 adalah berdasarkan resolusi MUAFIQ 21, iaitu bagi melahirkan masyarakat dengan merujuk tiga nilai norma, nilai dan norma ilahiyah yang tiada henti (Keluarga beragama); nilai dan norma insaniyah (Keluarga insani); dan nilai dan norma reproduksi (Keturunan).

Hukum-hukum ini, jelas Awang Hilman lagi, juga meliputi hukum-hukum ibadat, muamalat (ekonomi), akhlak dan macam-macam lagi.

Mu'tamar juga diisikan dengan beberapa pembentangan selari secara dalam talian yang dibahagikan kepada lima kumpulan, dan majlis sesi pagi diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada para pembentang dan hadiah kenangan-kenangan kepada tetamu-tetamu khas majlis.

Pada hari yang sama, sebelah petang pembentangan selari diteruskan oleh Kumpulan 'A' dan 'B' dan akan disambung pada esok pagi dengan pembentangan selari kumpulan selebihnya.

Hadir sama pada sebelah pagi, Ahli Majlis Mesyuarat Diraja, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Maharaja Diraja Dato Seri Paduka Awang Haji Abdul Wahab bin Haji Mohd. Said; Timbalan Mufti; Ra'es KUPU SB; Timbalan Setiausaha-setiausaha Tetap; Penolong Mufti; Pegawai-pegawai Utama KUPU SB; pegawai-pegawai kanan kerajaan; serta para jemputan dan orang ramai.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 11 Jun 2022. Oleh : Khartini Hamir Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments