Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

MENEROKA KELEBIHAN SURAH AL-QADR

BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 27 April. - Program Khas Ramadan anjuran Badan Sukarelawan Belia Da'ie di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da'wah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama meneruskan lagi Siri Tadabbur Al-Quran (STQ) secara maya, baru-baru ini.

STQ pada kali ini mengetengahkan Surah Al-Qadr yang disampaikan oleh Penolong Kanan Profesor, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr. Mikdar Rusdi.

Beliau mengongsikan bahawa Surah Al-Qadr merupakan surah ke-97 Al-Quran yang terdiri atas lima ayat.

Surah Al-Quran Ke-97 ini menggambarkan Lailatulqadar malam penuh berkat pada bulan Ramadan yang dipercayai oleh umat Islam bahawa Al-Quran pertama kali diturunkan ketika waktu tersebut.

''Malam Lailatulqadar mempunyai kelebihan yang sangat besar kerana malam itu menyaksikan turunnya Al-Quran al-Karim. Menurut pandangan sebahagian besar ahli tafsir, Al-Quran diturunkan sekali gus ke Baitulizzah di langit kedua pada malam Lailatulqadar.

''Manakala Al-Quran diturunkan ke bumi dan diterima oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui perantara Jibril Alaihissalam sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun,'' tambah beliau lagi.

alqadr.png

PROGRAM Khas Ramadan anjuran Badan Sukarelawan Belia Da'ie di bawah naungan Urus Setia Program Keugamaan Belia, PDI, KHEU meneruskan lagi Siri Tadabbur Al-Quran (STQ) secara maya.

Dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini ujarnya, kita hendaklah menggunakan peluang dan tawaran yang berharga ini bagi menambahkan bekalan akhirat, lebih-lebih lagi pada 10 malam terakhir bulan Ramadan yang mempunyai banyak kelebihannya.

Menurut beliau, Lailatulqadar adalah malam yang amat ditunggu-tunggu oleh mereka yang menginginkannya kerana ia hanya berlaku pada satu malam sahaja sepanjang tahun. Maka beruntunglah siapa yang memperolehnya dan rugilah siapa yang melepaskannya.

Program antara lain bertujuan untuk mempelajari bidang tafsir Al-Quran secara intensif serta mendalami dan memahami makna-makna yang terkandung dalam Al-Quran atau istilah Arabnya, tadabbur serta bagi menghidupkan Ramadan dengan menghadiri majlis ilmu sambil mengeratkan silaturahim dalam kalangan Ahli Belia Da'ie, Alumni Akademi Da'wah dan orang awam.

Siri Tadabbur Al-Quran ini seterusnya akan berlangsung pada setiap Ahad di sepanjang bulan Ramadan 1443H hingga 1 Mei 2022.

Sehubungan itu, orang ramai adalah dialu-alukan untuk sama-sama mengikuti program Siri Tadabbur Al-Quran ini bagi meraih manfaat kerana akan dapat lebih memahami isi kandungan Al-Quran dengan sebaiknya.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 30 April 2022. Berita dan Foto : Aimi Sani)

Attachments