Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

FAHAMI ISTILAH KEFAHAMAN AKIDAH, AHLI SUNNAH WALJAMAAH

TUTONG, Rabu, 10 November. - Negara Brunei Darussalam menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara dengan akidah menurut Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyah.

Perlu diketahui, bahawa adalah mustahil para alim ulama selama beberapa ribu tahun bersepakat dalam perkara yang salah. Ulama-ulama Muktabar dahulu juga tidak menolak akan mazhab-mazhab walaupun mereka adalah pakar, dari segi hadis dan fiqh.

Pengarah Pusat Kajian Fiqh Al-Usrah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Awang Hilman bin Haji Salim menjelaskan demikian semasa memberikan ceramah dalam Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljamaah menerusi aplikasi Zoom, baru-baru ini.

Awang Hilman menekankan, kita perlu lebih berhati-hati dalam menerima segala informasi yang diterima, terutama sekali di zaman moden sekarang ini, dengan kepesatan dan kecanggihan teknologi menjadikan kita mudah untuk menerima segala maklumat. 

pb131121.png

ANTARA peserta pada Kuliah Bulanan Ahli Sunnah Waljamaah menerusi aplikasi Zoom

"Tidak semua maklumat yang diberikan itu betul dan bersesuaian, walaupun ia datang daripada orang yang terkenal.

"Kita juga perlu mengawasi ahli keluarga kita agar tidak terpengaruh dalam fahaman yang bertentangan dengan kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah,'' tegasnya dalam ceramahnya, yang bertajuk 'Memahami Istilah Ahli Sunnah Waljamaah dan Beberapa Isu Akidah Semasa'.

Terdahulu, beliau menerangkan Ahli Sunnah Waljamaah adalah istilah yang digunakan bagi orang yang mengikut perjalanan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam juga para sahabat Baginda.

Selepas kejatuhan zaman khalifah dahulu, pengertian Jamaah semakin tidak jelas akibat tumbuhnya pelbagai fahaman yang berlainan dan menyeleweng, disebabkan perkara tersebut para ulama mengambil inisiatif dalam mengumpulkan juga menyusun ilmu akidah agar ia mampu menjadi garis pandu yang betul.

Ceramah dikelolakan oleh Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong dengan kerjasama Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama'ah KUPU SB dan merupakan sebagai aktiviti pengukuhan akidah yang dibuat sebulan sekali dengan menampilkan penceramahpenceramah undangan daripada pihak KUPU SB.


(Petikan dari Pelita Brunei, Sabtu 13 November 2021. Oleh : Wan Mohamad Sahran Wan Ahmadi Foto : Ihsan Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong)

Attachments