Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita

KESAHIHAN HADIS PERLU DIAMBIL PERHATIAN

BANDAR SERI BEGAWAN, Sabtu, 23 Oktober. - Lebih 700 peserta menghadiri Webinar Pendidikan Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, 'Habibi Rasulullah' bersempena Sambutan Maulud Nabi 1443 Hijrah, dengan Tema, 'Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat', yang diadakan secara maya, dari kediaman masing-masing.

Webinar dianjurkan bersama Fakulti Usuluddin dan Pusat Pengajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljamaah, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Terdahulu, majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa oleh Profesor Fakulti Usuluddin, Profesor Dr. Ali Sayed Abdel Hameed Youseff El-Syimi, diikuti dengan bacaan Asmaul Husna juga Lagu Kebangsaan Negara Brunei Darussalam.

Dekan Fakulti Usuluddin, Dr. Norashibah binti Haji Besar selaku Pengerusi Bersama Webinar, dalam ucapan alu-aluannya menjelaskan, Webinar ini merupakan acara tahunan, bertujuan untuk memupuk kesedaran tentang kepentingan menghayati perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dalam menegakkan syariat dan syiar agama Islam, memahami juga mengamalkan ajarannya dalam kehidupan seharian, di samping mendidik para peserta agar sentiasa istiqamah, berpegang teguh pada aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan menghidupkan sunnah Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.

Selain mengikuti sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, tegas Dr. Norashibah, adalah penting untuk mentaati segala perintah Allah Subahanahu Wata'ala dan Rasul-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya.

''Perhatian perlu diberikan oleh semua umat Islam terhadap sumber-sumber pengambilan hadis-hadis Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, yang disampaikan pada zaman ini, dari sebarang pemalsuan dan ciptaan dusta dari musuh-musuh Islam, selain menghayati, mengamalkan serta mengajarkan sunnah Rasulullah agar terpelihara dari azab seksaan yang berat,'' tambah Dr. Norashibah.

Pendustaan atas nama Baginda, jelas Dr. Norashibah, adalah kedustaan atas nama Allah Azzawajalla yang memberi impak terhadap syariat dan seksaannya adalah lebih dahsyat.

Dr. Norashibah juga menyeru pihak-pihak tertentu yang berkaitan dengan bidang Pengajian Islam, terutama di peringkat pra universiti, agar sentiasa mengambil berat dan perhatian tentang salah satu bidang Ulum Hadis, yang dinamakan 'Takhrij al-Hadith', iaitu ilmu khusus untuk mengenal pasti kesahihan hadis-hadis, dari sumber rujukan yang asli dan muktabar.

Dalam penyampaian ucaptama, Ra'es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar menjelaskan, mengenai nasab keturunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan menceritakan sejarah penggalian dan pembinaan telaga Zamzam.

Dr. Haji Adanan juga mengingatkan mengenai Sejarah Hari Keputeraan Habibi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan membawakan beberapa pendapat sahih, antaranya kisah Baginda dilahirkan dalam keadaan yatim ketika masih berada di dalam kandungan ibunda Baginda, juga lahir pada Tahun Gajah atas kekuasaan Allah Subahanahu Wata'ala, pada 12 Rabiulawal.

Menurut beliau, kejadian irhasat terhadap kisah keputeraan Habibi Baginda, yang dialami oleh ibunda Baginda dan terdapat perbincangan juga ikhtilaf daripada beberapa ulama mengenainya. Dengan itu, peringatan diberikan agar semua perlu berhati-hati dengan riwayat yang diterima tanpa sumber yang belum sahih, terutama sekali yang diterima, dari aplikasi media.

Webinar diteruskan dengan pembentangan tiga kertas kerja, yang dimoderatorkan oleh Timbalan Dekan Fakulti Usuluddin, KUPU SB, Dr. Norasimah binti Haji Omar. 

webinar_pb251021.png

WEBINAR Pendidikan Sirah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, 'Habibi Rasulullah' bersempena Sambutan Maulud Nabi 1443 Hijrah yang diadakan secara maya.

Pembentang pertama, Pemangku Timbalan Ra'es KUPUSB, Dr. Abang Hadzmin bin Haji Abang Taha, membentangkan tajuk, 'Peneguhan Pendidikan Kasih kepada Rasul'.

Manakala pembentang kedua, Penolong Kanan Profesor, Fakulti Usuluddin, Dr. Mikdar Rusdi pula membincangkan mengenai 'Memperingati Maulid Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam Sebagai Platform Mengenali Habibi Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam Dari Dekat'.

Ketua Jabatan Penyelidikan, Dokumentasi dan Penerbitan Pejabat Am, Institut Ahli Sunnah Waljamaah, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Nur Zainatul Nadra binti Zainol sebagai pembentang ketiga pula, membincangkan mengenai penghayatan hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melalui sebaran infografik, di mana beliau turut memberi kesimpulan, bahawa semua pihak memainkan peranan dalam penyebaran hadis, dengan memberi contoh, di Malaysia, terdapat agensi yang menguruskan akan hal penyebaran agama Islam dan penyebaran hadis perlu diperluaskan, dari segi tema juga skop, iaitu dengan menggunakan inforgrafik dengan harapan agar hadis dapat disebarkan secara menyeluruh kepada seluruh masyarakat.

Dengan tema, 'Rasulullah Kekasih Allah, Kekasihku Dunia Akhirat', antara objektif Webinar diadakan, adalah untuk mendukung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Majlis sempena Menyambut Tahun Baharu 1443H / 2021 Masihi, bagi membekalkan ilmu-ilmu akidah, menurut acuan Ahli Sunnah Waljamaah kepada pelbagai peringkat masyarakat di Negara Brunei Darussalam, selain memupuk kesedaran tentang kepentingan menghayati perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, dalam menegakkan syariat dan syiar agama Islam.

Selain itu, mendidik para peserta supaya sentiasa istiqamah berpegang teguh kepada aliran Ahli Sunnah Waljamaah dan menghidupkan sunnah Baginda, dalam kehidupan seharian.

Webinar diharap dapat membina dan memantapkan ukhuwah Islamiah di antara warga KUPU SB dan universiti luar, yang mempunyai bidang kerjasama bersama KUPU SB juga masyarakat awam secara berterusan.

Turut hadir, Setiausaha Tetap (Pentadbiran, Kewangan dan Estet), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Mohammad Amirrizal bin Pengiran Haji Mahmud; wakil Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam; Pegawai-pegawai kanan dan pegawai kerajaan; pensyarahpensyarah; guru-guru; para mahasiswa pengajian tinggi; juga para peserta dari dalam dan luar negara.


(Petikan dari Pelita Brunei, Isnin 25 Oktober 2021. Oleh : Aimi Sani Foto : Ihsan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan)

Attachments